#ThrowbackXTRA: Tagline Melekat Sehingga Kini, Bob Yusof Masih Disapa Bob ‘Mesra’

Penyanyi Bob Yusof tampil mendedahkan dirinya masih lagi disapa sebagai Bob ‘Mesra’ biarpun sudah bertahun meninggalkan program realiti nyanyian dari sebuah stesen televisyen berbayar, pada 2004.

Menerusi segmen #ThrowbackXTRA minggu ini, Bob juga telah merungkai asal-usul trademark atau tagline yang membuatkan dirinya masih dikenali sehingga kini.

Menurut Bob, dia berasa terharu kerana nama panggilan tersebut masih lagi menjadi sebutan dalam kalangan peminatnya ke mana sahaja dirinya pergi.

“Dah 19 tahun, memang sampai sekarang ada orang masih panggil saya Bob Mesra. Kalau jumpa tu mesti dorang tegur dan buat tagline tu.

“Kadang-kadang kalau tak buat, mesti akan ada orang tanya tapi bukan sebab saya lupa. Kadang-kadang kita ikut kesesuaian.

“Jadi, memang satu trademark yang kekal lah maksudnya bila orang ingat mesra tu, dia ingat Bob. Orang bukannya panggil Bob Yusof atau Bob AF, tapi orang panggil Bob Mesra,” katanya.

Dalam pada itu, Bob juga menyatakan nama gelaran tersebut tercetus selepas diberi cadangan oleh pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil ketika itu.

“Masa tu sebenarnya Pak Nil, yang cakap saya mesra alam. Jadi dia cadangkan saya untuk menggunakan tagline yang berkaitan dengan mesra. Jadi, dari situlah titik mulanya Mesra tu.

“Idea tu memang Pak Nil bagi tapi kami tak rancang. Sebenarnya benda tu spontan. Bila saya fikir balik kata-kata Pak Nil, tu yang saya terus guna ‘Mesra’,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal Meriahkan Aidilfitri Dengan Konsert Anjuran DFP, Bob Yusof Akui Gemuruh… Janji Bawa Kelainan Dalam Lagu Raya

 

Fatin Nurain