Umum Bakal Adakan Konsert! Himpun Artis Tempatan & Indonesia, Faztival Fazura Bertujuan Raikan Peminat

Pelakon, penyanyi dan usahawan, Nur Fazura mengumumkan bakal mengadakan sebuah konsert yang diberi nama Faztival Fazura 2022 pada 11 September depan buat pertama kalinya.

Nur Fazura atau lebih mesra dipanggil Faz memaklumkan bahawa konsert ini bertujuan untuk meraikan para peminat yang sentiasa menyokong kerjaya dan perniagaannya.

Bukan itu sahaja, konsert sulungnya ini turut menghimpunkan ramai artis nama besar dan terkenal yang merupakan penyanyi dan kumpulan muzik kegemaran beliau iaitu Dato’ M. Nasir, Dato’ Awie dan Ratu Rock Malaysia, Ella. Faztival Fazura ini juga dimeriahkan lagi dengan persembahan dari kumpulan Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

“Alhamdulillah Faz bersyukur kerana konsert ini akhirnya dapat juga direalisasikan kerana sudah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan bersama dengan rakan-rakan seni yang amat saya kagumi di bawah satu acara yang gilang gemilang,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media Faztival Fazura 2022 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

Tambah, konsert ini bakal ditunjangi oleh dua penyanyi Indonesia iaitu Ahmad Band yang diketuai oleh Ahmad Dhani dan isterinya, Mulan Jameela yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ditanya mengenai harga tiket, Fazura memaklumkan bahawa tiket konsert tersebut pada kadar yang mampu beli oleh peminatnya dan sinonim dengan jenama Fazura.

“Harga tiket pula sudah tentunya harga yang mampu dimiliki kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura,” jelasnya.

Konsert Faztival Fazura 2022 ini diuruskan oleh Icon Entertainment dan tiket bakal dijual pada 19 Ogos 2022 dengan harga yang bermula dari RM147 melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my atau talian hotline Whatsapp di +6 019 9919 055.

Atiqah Johari