Uyaina Arshad ‘Gegar’ Dangdut Academy Asia 6, Penampilan Trendy & Elegan Dipuji Ramai

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad kini semakin hangat menjadi perbualan ramai terutamanya selepas kembali mengacarakan program dangdut popualr Indonesia, Dangdut Academy Asia musim keenam (DAA 6).

Program tersebut mula ditayangkan sejak 18 Jun lalu selepas tiga tahun itu direhatkan akibat pandemik Covid-19.

Nama Uyaina heboh dipetik di serata media sosial yang terpegun melihat penampilannya yang disifatkan elegan dan ‘trendy’, selain memuji kredibilitinya dalam bidang pengacaraaan.

“Saya dah datang di sini (Jakarta) sejak 13 Jun lalu. Konsert minggu pertama berlangsung pada 18 Jun dan sekarang sudah masuk Top 30. Tidak dinafikan, persaingan kali ini sangat sengit apatah lagi membabitkan penyertaan dari negara Turkiye.

“Sejujurnya, saya bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh warga kerja DAA kerana terus memberikan kepercayaan untuk saya mengacarakan program ini.

“Bukan mudah untuk orang luar diterima baik di sini sebab seperti yang kita tahu industri mereka juga ada ramai yang berbakat. Apa pun, bagi saya ini adalah rezeki anak.

“Sambutan peminat juga sangat positif. Bukan saja di studio, tapi di media sosial ada saja kata-kata semangat yang diberikan kepada saya. Serba serbi mereka komen. Itu juga sudah cukup membuatkan saya terharu,” katanya.

‘Serba boleh’, itulah yang sesuai digambarkan tentang kelebihan Uyaina yang juga mahir serta petah bertutur dalam bahasa Inggeris, sekali gus membantu rakan pengacara lain dalam program DAA 6 ini.

“Macam musim sebelumnya DAA ada peserta dari Filipina dan Thailand yang memang tidak faham bahasa Indonesia. Ditambah pula tahun ini ada peserta tambahan dari negara Turkiye. Nak tak nak, memang kena cakap bahasa Inggeris.

“Kebiasaannya saya yang menjadi ‘mangsa’ rakan pengacara lain untuk menterjemahkan komen juri. Saya okay saja, sebab itu pun sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab saya ketika di pentas.

“Tak salah pun kita sebagai rakan pengacara saling memudahkan,” katanya.

Selain Uyaina, DAA 6 yang ditayangkan di saluran Indosiar turut dihoskan oleh Ramzi, Irfan Hakim, Gilang Dirga dan Jirayut Afisan.

Pada DAA 6, Uyaina dijangka akan berada di Indonesia hingga September depan.

Aqilah Paharuzi