Watak Antagonis Buat Ellyas Terkejut

Pelakon Ellyas Abdullah mengakui terkejut dengan respon penonton mengenai lakonannya menerusi drama Jika Masih Ada Rindu.

Kata Elyas atau nama sebenarnya Wan Elyas Wan Abdullah, dia sama sekali tidak menyangka karakternya yang garang meninggalkan kesan kepada penonton.

“ Saya jarang ditawarkan karakter begini. Watak Johan boleh dikatakan mencabar kerana saya perlu menjerit dan menengking wanita walhal saya bukan begitu orangnya.

“ Saya juga terharu apabila ada netizen yang meninggalkan komen di ruangan Instagram memberitahu mereka gembira melihat saya kembali di kaca televisyen. Dengan lambakan pelakon sedia ada pada masa ini, saya terkejut kerana lakonan masih mendapat perhatian. Alhamdulillah,” katanya kepada XTRA.

Pelakon berusia 38 tahun ini menjelaskan ‘kehilangannya’ dalam dunia lakonan bukan disebabkan merajuk.

“ Jujurnya, saya hanya mula aktif berlakon semula pada akhir tahun lalu. Hampir lima tahun saya tidak menerima tawaran berlakon dari mana-mana syarikat produksi.

“ Tiada istilah saya memilih watak atau merajuk dengan industri. Namun begitu, saya tidak pernah menyalahkan sesiapa kerana saya percaya kepada rezeki. Mungkin ALLAH menetapkan saya untuk fokus kepada perkara lain dahulu sebelum kembali berlakon.

“ Ditambah sikap saya yang agak tertutup dengan kehidupan peribadi, saya juga jarang muncul di media cetak atau eletronik. Saya lebih selesa begini,” katanya. 

Nama Elyas Abdullah mula dikenali selepas membawa watak Tajul dalam drama siri popular, Dunia Baru yang disiarkan pada tahun 2006.  

Saksikan drama lakonan Elyas dalam drama Jika Masih Ada Rindu yang kini ditayangkan setiap Rabu-Jumaat jam 10 malam di TV3. 

SGMS Faida