“You Are Trying To Hard” – Kecaman Netizen Bangkit Semangat Aisha Retno

Penyanyi Aisha Retno bersyukur lagu-lagunya diterima ramai dan telah mencapai 33 juta penstriman audio untuk lagu W.H.U.T (Wanna Hold You Tight).

Mengimbau perjalanan semasa memasuki pertandingan nyanyian, juara rookie Vokal Mania ini pernah menerima kecaman yang mengatakan dia tidak layak untuk bergelar penyanyi.

“Benda yang pahit seperti you don’t deserve to be in music industry, you are trying to hard, semua benda nak buat nak berlakon lah, nak menyanyi lah, something like that,” kata Aisha.

Aisha ditemui semasa acara istimewa ‘An Intimate Showcase with Aisha Retno’ pada Khamis lalu di Red Box the Gardens, Kuala Lumpur.

Menurut Aisha atau nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, kecaman tersebut diambil sebagai perkara yang positif dan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik di dalam karyanya.

Pada masa sama, Aisha yang suka bereksperimentasi memberitahu fokusnya adalah untuk menjadi seorang penyanyi dan telah dilamar oleh sebuah syarikat penerbitan muzik untuk menjadi seorang penulis lagu.

“Saya sudah mula menulis lagu dan belajar daripada orang-orang yang handal disitu dimana sekaligus boleh mengajar saya untuk menjadi seorang penyanyi yang baik.

“Era penulisan lagu baru bermula dua tiga tahun lepas kalau nak dibandingkan dengan menyanyi dah lama sejak dari sekolah lagi,” ujarnya.

Terdahulu, Aisha telah mencipta sejarah manis apabila wajahnya menghiasi papan iklan tersohor di New York untuk kempen EQUAL daripada Spotify pada Julai lalu.

Maya Basir