YouTube Bantu Tambah Pendapatan Zarul Umbrella

Vokalis kumpulan Umbrella, Zarul Husin, 48, mengakui saluran YouTube yang diusahakan semenjak tahun 2011 membantu untuk menambahkan pendapatannya.

Aktif semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, penyanyi dan pelakon ini sentiasa muncul dengan kandungan yang menarik berkaitan dengan kerjaya di awan biru yang pernah digalasnya sebelum ini.

“Saluran YouTube saya sudah lama wujud tetapi saya aktif semenjak beberapa tahun lalu. Saya memberikan fokus terhadap kandungan berkaitan dengan dunia penerbangan dari kaca mata juruterbang dan anak kapal.

“Biarpun jumlah pendapatan di YouTube tidaklah sebanyak apa yang diperolehi sebagai penyanyi dan pelakon, ia sedikit sebanyak membantu untuk menambahkan pendapatan, lebih-lebih lagi tatkala aktiviti seni terhenti gara-gara pandemik.

“Apa yang penting, saya harus konsisten menerbitkan kandungan video di saluran YouTube. Kini, saluran YouTube Zarul Umbrella mempunyai lebih 152,000 subscriber. Kepada mereka yang belum melanggan saluran YouTube saya, jangan lupa untuk mengikutinya,” katanya.

Muncul dengan single Sepenuh Hati pada penghujung Julai lalu, ini merupakan kolaborasi sulung Zarul dengan komposer terkenal, Ajai dan penulis lirik terkemuka, Iman Imran.

“Lagu ini menampilkan sisi berbeza saya kerana sebelum ini orang mengenali saya dengan lagu perlahan. Menariknya, lagu Sepenuh Hati turut mengetengahkan elemen latin dalam susunan muziknya.

“Sepatutnya, saya merancang untuk mengeluarkan single ini lebih awal kerana ia dibuat semenjak 2019, namun ia ditangguhkan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Saya berharap buah tangan terbaru ini dapat diterima oleh peminat, Insya-Allah,” katanya.

Padin