Zizan Razak Pilih Untuk Bercinta Lepas Kahwin – “Saya Tidak Mahu Kecundang Lagi”

Pelakon Zizan Razak mengakui dirinya kini lebih tenang dan selesa menjalankan rutin hidup sebagai seorang bujang.

Menurut Zizan, dia lebih memilih untuk tidak berfikir soal jodoh buat masa ini biarpun tiada niat untuk kekal bujang dalam tempoh yang lama.

“Sejujurnya, saya berasa lebih tenang begini. Nak membujang dalam tempoh yang lama itu tidaklah.

“Cuma saya rasa bila tiada jodoh atau tiada kesempatan ke atas itu, saya hargai apa yang saya ada sekarang. Kerjaya saya, famili saya dan masa yang saya ada,” katanya.

Memetik laporan Gempak, pelakon itu tidak serik untuk menjalinkan hubungan dengan seseorang, sebaliknya dia lebih tertarik untuk bercinta selepas mendirikan rumah tangga.

“Kalau boleh, saya nak cari jalan atau pun saya nak cari peluang untuk tiba-tiba mendirikan rumah tangga dan bercinta selepas kahwin. Hal itu lebih saya suka.

“Kerja saya hanyalah berdoa supaya jodoh saya dipermudahkan itu sahaja. Bukan kata saya tidak mahu kawin, tentu saya berkeinginan punya isteri dan anak-anak.

“Kadang-kadang saya suka lihat kawan-kawan di sekeliling sudah pun punya keluarga kecil mereka sendiri,” katanya.

Namun, Zizan juga menyatakan kini dirinya lebih serius untuk menjalinkan hubungan sehingga ke jinjang pelamin dan tidak mahu kecewa lagi.

“Tapi sungguh, buat masa ini saya tiada sesiapa dan saya sentiasa terbuka jika ada yang ingin berkenalan, tapi saya tidak mahu kecundang lagi. Maksudnya, saya tak nak buang masa ke arah itu (bercinta tanpa berakhir ke fasa perkahwinan).” jelasnya.

Sumber: Gempak

Fatin Nurain