Categories: LIFESTYLE

Inilah Angel Falls Air Terjun Tertinggi Di Dunia

Bersantai di kawasan rekreasi seperti lata dan air terjun memang sesuatu yang mendamaikan. Dikelilingi hutan menghijau, air yang mengalir sejuk dan dilatari bunyi-bunyian serangga memberikan satu ketenangan dalam diri. Berbaloi untuk lari sebentar daripada kesibukkan dunia ketika berada di hutan batu di tengah kota.

Tetapi pernahkah anda terfikir mengenai air terjun tertinggi di dunia? Apabila menyebut mengenai tertinggi, setinggi manakah air terjun berkenaan? Pastinya ingin mengembara ke air terjun ini untuk menyaksikan keindahan alam ciptaan Tuhan dengan mata sendiri.

 

Angel Falls

Angel Falls, itulah namanya air terjun tertinggi di dunia yang terletak di Venezuela. Air terjun ini terletak di dalam kawasan Taman Negara kedua terbesar milik negara itu iaitu Taman Negara Canaima.

Mengalir dari puncak Gunung Auyan-tepu dan jatuh ke Lembah Canyon, Angel Fall ‘gugur’ daripada ketinggian 3212 kaki atau 979 meter. Air terjun berkenaan mengalir melalui Sungai Carrao yang merentasi taman itu. Angel Falls, sesungguhnya adalah salah satu keajaiban dunia yang tidak boleh disangkal lagi.

Sejarah penemuan

Sebelum tahun 1950, air terjun ini masih tidak diketahui umum. Malah, puak orang asli yang menetap di belantara berkenaan, Kamarakotas Pomon sendiri menjauhi air terjun tersebut kerana menganggap kawasan itu sebagai berhantu.

 

Pada tahun 1933, seorang pemburu emas berbangsa Amerika Syarikat, James Crawford ‘Jimmie’ Angel secara tidak sengaja berjaya menemui air terjun berkenaan. Ketika itu, dia sedang menerbangkan sebuah pesawat ringan melintasi gunung tersebut dalam misi mencari galian beharga tersebut.

Empat tahun kemudian, Jimmie sekali lagi hadir ke gunung berkenaan, kali ini atas tujuan untuk meneroka air terjun tersebut. Jimmie kali ini ditemani oleh isteri keduanya, Marie dan dua orang pembantu Gustavo Henry dan Miguel Delgado dengan menaiki pesawat yang berjaya didaratkan di satu kawasan lapang di puncak gunung itu.

Malangnya, pesawat berkenaan tersangkut di dalam lumpur dan kekal di sana sehinggalah tahun 1970. Untuk 11 hari, Jimmie dan pasukannya meneroka belantara asing tersebut sehinggalah tiba di sebuah perkampungan orang asli, Kamarata. Tidak lama selepas itu, tersebarlah cerita bagaimana Jimmie berjaya menemui air terjun berkenaan seterusnya sebagai penghargaan, nama akhir Jimmie iaitu Angel telah diambil untuk menamakan air terjun tersebut.

 

Bermula daripada kisah tersebut, minat dunia mula teralih berarah kepada Angel Falls. Dari masa ke masa, pelbagai ekspedisi sainstifik dihantar ke sana untuk mendapatkan kefahaman lebih lanjut mengenai air terjun itu.

Selepas itu kawasan khas yang dikenalai sebagai Taman Negara Canaima diwujudkan pada 1962 bagi melindungi Angel Falls. Pada 1996, UNESCO menamakan Angel Falls sebagai Warisan Dunia.

SGMS Enal