Categories: AcaraOh Lawa

E1, Jual fesyen dalam lagu

Lupakan kontroversi ‘vokal tercekik sudu’ yang hangat diperkatakan beberapa hari sebelum kemunculan rasmi kumpulan trio, E1.

Pada pendapat penulis, walaupun belum boleh dikategorikan sebagai kumpulan vokal yang hebat, tetapi secara keseluruhan selepas menonton klip video Semalam Sahaja yang ditayang secara rasmi di laman YouTube pada 14 Februari lalu, kumpulan E1 hadir dengan idea dan pakej yang baik.

Pencetus idea di sebalik pembentukan kumpulan itu, Ezuwan Ismail yang juga pereka fesyen terkenal di negara ini, menampilkan strategi yang baik walaupun beliau bukanlah seorang penyanyi profesional.

Beliau tahu di mana kekuatan E1, termasuk apa yang boleh dijual melalui lagu bernuansakan retro itu.

 

Potensi vokal yang boleh digilap dari semasa ke semasa termasuk keazaman untuk menimba pengalaman, E1 menampilkan video lagu Semalam Sahaja yang Berjaya mencuri perhatian menerusi penceritaan menarik yang berlatarkan zaman dan fesyen era 70-an.

Klip video yang menampilkan hampir 20 persalinan  digayakan E1, aktres Aprena Manrose dan Mathnik Razak itu membangkitkan keterujaan dalam kalangan generasi muda menerusi paparan fesyen retro.

Fesyen retro merupakan satu era paling dinamik dan berpengaruh, hadir dengan warna dan corak yang kuat dan jelas.

Dekad 1970-an amat penting dalam sejarah dunia kerana ketika ituwanita dilihat semakin terbuka dan berani dalam menggayakan pelbagai fesyen, malah pada era itu wanita mula melakar sejarah hebat apabila ramai berjaya menempatkan diri di universiti tempatan mahupun antarabangsa.

Dalam dunia fesyen, era retro sering dijadikan inspirasi kerana banyak pembaharuan dilakukan dalam menghasilkan sentuhan yang lebih segar.

Secara keseluruhan, lagu solo pertama E1, Semalam Sahaja hasil ciptaan Asfan, turut menyaksikan tumpuan terhadap fesyen dimanfaatkan sekali gus menutup beberapa kelemahan kecil.

Selain fesyen digayakan, E1 menampilkan konsep muzik, penataan gaya dan keseluruhan jalan cerita yang jelas mengangkat zaman kegemilangan retro yang penuh warna.

Ketika ditanya mengenai perkaitan itu, Ezuwan Ismail, mengakui bagi projek terbarunya itu beliau menggabungkan dua minatnya iaitu fesyen dan nyanyian.

 

 

“Selain kerana minat menyanyi, saya berharap projek ini dapat mengetengahkan koleksi pakaian jenama saya sendiri. Jika tampil secara solo, saya akan memperagakan hanya satu pakaian pada satu masa, tetapi, menerusi kumpulan ini, dua lagi anggota E1 iatu Zulyasrani dan Ariff Imran akan turut memperagakan koleksi saya.

“Meskupun agak sibuk ketika ini kerana perlu menghasilkan beberapa rekaan bagi setiap penampilan kumpulan E1, saya bersyukur kerana semuanya terkawal dengan baik,” katanya.

Beiau berharap E1 bukan sekadar kumpulan yang muncul dengan one hit wonder, sebaliknya mampu mewarnai industri hiburan tanahair seberapa lama yang mungkin.

 

Foto: Kaio Studio

Yanie Baharom