Categories: Oh Lawa

Identiti dan tradisi dikekalkan dalam koleksi raya Alia Bastamam

Saban tahun, koleksi busana rekaan Alia Bastamam terus mengekalkan tradisi dan identitinya yang cukup optimistik menerusi pilihan warna yang dipersembahkan. Kali ini warna pastel menjadi pilihan yang menterjemahkan pelbagai mood menerusi koleksi rayanya, Alia B Raya 2019.

Koleksinya kali ini juga lebih praktikal kerana setiap helaian boleh disuai padan bukan semata-mata untuk hari raya. 

“Sebagai contoh ada jaket bomber yang saya serlahkan ikut aliran terkini. Yang bertudung pun boleh mengenakannya dengan memakai baju kolar penyu (turtle neck) dan disuai padan dengan tudung.

“Jaket bomber ini juga boleh digayakan secara off shoulder. Kalau sebelum ini koleksi saya juga menggabungkan banyak konsep seperti kain renda (lace) dan bercetak sebagai variasi.

“Koleksi ini juga boleh dipakai untuk mereka yang bertudung dan sebaliknya. Bahagian atas baju raya yang saya reka kali ini juga boleh dipakai begitu sahaja menjadi gaun untuk acara kasual atau santai. Pendek kata, konsep dua dalam satu saya praktikkan kali ini bagi memudahkan si pemakai,” katanya.

Tambah pemenang Pereka Tahunan, Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 itu, dia selesa menghasilkan busana yang boleh dipakai pada bila-bila masa sahaja tanpa lapuk dek masa.

“Dalam almari pakaian, baju saya ini boleh digayakan ikut acara tertentu mengikut kreativiti si pemakai. Tak perlu pening kepala, baju raya pun boleh digayakan untuk acara lain.

“Memang pecah kepala juga nak fikirkan koleksi bagaimana pula yang mahu ditampilkan. Lazimnya saya selalu bertanya kepada diri sendiri, apa yang pelanggan atau penggemar Alia Bastamam mahukan? Saya lebih senang meletakkan diri ini sebagai pelanggan atau pengguna. Cara itu buat saya lebih realistik dalam mengeluarkan rekaan itu dan ini,” katanya yang menganggap mereka busana raya setiap tahun bukanlah satu tugas mudah.

 

Koleksi raya Alia B 2019 boleh dibeli di Fashion Valet dan di beberapa gedung beli-belah terpilih. Anda juga boleh menjengah ke laman Instagram @aliabrtw untuk melihat koleksi raya Alia B.

Kredit foto: Instagram @aliabrtw

Ad Ops