Categories: Oh Lawa

Lady Gaga begemerlapan dengan aksesori berlian lebih 100 karat di Grammy Awards

Sejak beberapa bulan lepas, penyanyi dan pelakon Lady Gaga kerap muncul di majlis anugerah terkemuka di Amerika Syarikat (AS), antaranya Golden Globes dan Screen Actors Guild Awards.

Keberkesanan lakonannya dalam filem A Star Is Born ternyata berjaya meninggalkan impak yang kuat dalam industri hiburan di Hollywood sehingga beliau tercalon untuk pelbagai kategori.

Seiring dengan reputasinya dalam bidang fesyen, Lady Gaga juga tidak pernah menghampakan kerana beliau pastinya akan membuat penampilan yang menjadi topik perbualan ramai.

Tidak hairanlah, kemunculannya sentiasa ditunggu-tunggu pihak media dan pengkritik fesyen.

Jika sebelum ini, beliau lebih menggemari gaya fesyen yang luar biasa dan kadangkala tidak masuk akal, kini beliau memilih penampilan yang lebih anggun dan kewanitaan.

Gaya itu dapat dilihat pada acara anugerah terbaharu yang dihadirinya, iaitu 2019 Grammy Awards. Anugerah muzik berprestij itu berlangsung hari ini di Los Angeles, yang mana beliau memenangi tiga anugerah.

Selain kejayaannya di pentas, Lady Gaga turut menarik perhatian ramai di karpet merah kerana penampilannya yang bertemakan “rock star glam”.

Foto: Jordan Strauss/Invision/AP/REX/Shutterstock

Beliau menggayakan busana indah iaitu gaun “discoball” hasil rekaan Hedi Slimane.

Menurut agensi berita asing, pada mulanya gaun berkenaan dihasilkan sebagai baju mini, tetapi Gaga dikatakan meminta supaya sedikit perubahan dibuat.

Baju mini itu dipanjangkan untuk menjadi gaun yang disertakan dengan belahan tinggi menampakkan sebahagian paha yang seksi.

Foto: Peter White/Getty Images/Steve Granitz/WireImage

Selain itu, Gaga turut tampil bergemerlapan dengan aksesori mewah daripada jenama perhiasan diri terkemuka Tiffany & Co yang merangkumi lebih 100 karat berlian.

Satu daripadanya ialah rantai daripada koleksi Tiffany Blue Book yang memerlukan lebih setahun untuk disiapkan dan menampilkan berlian berjumlah 91 karat. Penyanyi itu juga memakai subang berlian 10 karat oleh Tiffany & Co.

Foto: Bustle

Sumber: People

Ad Ops