Setiap ibu bapa pastinya mahukan apa sahaja yang terbaik untuk anak mereka. Sama ada membaca ataupun menulis, kemahiran ini juga akan diterap sejak kecil supaya anak membesar menjadi individu bijak dan berilmu.
Tetapi ramai antara mereka menganggap bahawa sifat-sifat seperti baik hati dan empati akan wujud dalam diri kanak-kanak ini secara semula jadi tanpa perlu dipupuk.
Tanggapan itu sememangnya tidak betul. Kecerdasan emosi tidak akan datang dengan semula jadi, sebaliknya perlu diasah dan dipupuk agar anak mendapat ilmu yang sewajarnya.
Sesetengah kanak-kanak tidak perasan yang mereka sedang menyakiti orang di sekeliling mereka. Sesetengah lagi mengalami kesukaran untuk merasai apa yang orang lain rasa.
Ada juga kanak-kanak yang memang tidak tahu bagaimana untuk menunjukkan sifat baik hati. Jika dibiarkan, ada potensi dia akan membesar dengan menjadi seorang pembuli.
Sehubungan itu, ada beberapa langkah mudah yang ibu bapa boleh ambil untuk menanamkan rasa empati dalam diri anak.
Jika ibu bapa nasihatkan anak mereka supaya baik hati tetapi pada masa yang sama mereka buruk laku, segala nasihat yang diberikan itu tidak akan memberi impak besar kepada si anak.
Kanak-kanak lazimnya akan mengulang tingkah laku yang pernah mereka lihat, bukannya apa yang mereka diberitahu untuk dibuat. Disebabkan itu, ibu bapa patut menunjukkan contoh yang bagus untuk anak.
Ketika mendisiplinkan anak, ibu bapa patut tunjukkan rasa hormat. Ketika bercakap dengan pasangan, mereka perlu luahkan kata-kata dengan sopan-santun. Si kecil akan mencontohi perbuatan ini.
Jika anak sukar membaca isyarat sosial, wujudkan permainan ‘Teka Emosi.’ Duduk sebentar di taman permainan dan teliti tingkah laku orang ramai.
Cari sesiapa yang sedang menunjukkan emosi yang ekstra, seperti rasa gembira, sedih atau marah. Tanya anak apakah emosi yang dia rasa individu itu sedang lalui. Minta dia rancang apakah cerita yang sedang berlaku kepada individu berkenaan.
Tindakan ini membantu anak mengenal pasti isyarat bukan lisan mengenai perasaan orang lain, serta membantunya mengetahui maksud di sebalik setiap emosi.
Sesetengah keluarga memang biasa mengusik satu sama lain, tetapi ada kanak-kanak yang tidak tahan. Jika dia menunjukkan reaksi menangis atau lari dari tempat itu, besar kemungkinan dia terasa hati.
Pastinya ibu bapa tidak ingin anak mereka menjadi penyebab budak lain menangis sebegitu. Ada golongan yang merasakan perbuatan ini bertujuan untuk mengukuhkan emosi si kecil, tetapi selalunya anak ini akan bertindak dengan mengejek rakan sebayanya sebagai balasan.
Pendek kata, jika usikan keji ialah suatu perkara yang normal di rumah, kanak-kanak ini akan anggap ia boleh diterima di mana-mana.
Ibu bapa patut lakukan ini tanpa menyinggung perasaan anak mereka. Contohnya:
“Aiman pukul Suri tadi dan sekarang dia rasa sedih. Tengoklah tanda merah di mukanya. Aiman mesti tak nak Suri buat perkara yang sama kepada Aiman, kan?”
“Ibu akan marah Suri jika dia sakitkan Aiman. Ibu sayang Aiman dan Suri, dan tak mahu kamu berdua cedera.”
Kanak-kanak perlu tahu mereka akan merasai kepuasan setelah membantu orang, walaupun dia tidak mendapat apa-apa sebagai balasan; walaupun orang yang ditolong itu tidak berterima kasih.
Ibu bapa perlu ajar bahawa berbuat baik sedikit, seperti membuka pintu untuk orang lain apabila tangan mereka penuh dengan barang, juga akan mendatangkan pahala.
Jika ibu bapa biarkan anak mereka berkasar di rumah, dia mungkin ingat di luar pun dia boleh berbuat demikian. Sifat baik hati bermula di rumah.
Ramai daripada kita akan terkejut jika kita mendengar anak kita melayan orang lain dengan buruk. Tetapi jika kita tidak mengajar sifat baik hati kepada anak, kita sebenarnya tidak menolongnya menjadi individu yang berguna kepada masyarakat.
Jangan lupa saksikan!
“Kalau nak komen pasal kes curang dalam rumah tangga, saya tidak layak,” - PU RIZ
Love the good vibes!