Categories: familuvFeatured

Panduan mudah menyusu bayi sumbing, barulah bayi kenyang!

Sumbing adalah bentuk kecacatan yang lazim berlaku sejak lahir, namun dengan perkembangan yang ada dalam bidang perubatan, ada sesetengah kes sumbing boleh diperbaiki dengan pembedahan plastik.

Sumbing juga ialah satu keadaan di mana wujud rekahan atau celahan yang berlaku pada struktur bibir, lelangit atau kedua-duanya sekali sehingga menyebabkan kesukaran kepada seseorang itu untuk makan atau minum.

Keadaan ini turut berlaku kepada bayi yang mempunyai masalah sumbing di mana mereka mempunyai kesukaran untuk menyusu.

Bayi sumbing akan menelan lebih banyak udara sewaktu penyusuan dan keadaan ini juga akan menyebabkan susu mudah memasuki rongga hidung atau telinga tengah.

Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia

Justeru, penyusuan untuk bayi sumbing memang mencabar dan memerlukan kesabaran yang kuat. Berikut merupakan panduan berguna untuk menyusukan bayi sumbing.

1. Bayi sumbing memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri ketika menyusu. Sebaik sahaja bayi sudah melekap dan mula menyusu, beri bayi beberapa minit dahulu. Perhatikan mulut bayi, perah payudara dengan perlahan-lahan di antara jari dan ibu jari untuk melancarkan susu.

Jika bayi berhenti menyusu, ibu juga perlu berhenti memerah payudara kerana mungkin bayi perlu berehat atau tidak mahu menyusu. Pendekkan masa penyusuan tetapi kerap kerana bayi sumbing akan cepat letih pada mulanya.

2. Bayi sumbing bibir dan lelangit juga boleh menggunakan prosthesis obturator (plat gigi). Alat prostetik yang diperbuat daripada akrilik ini boleh menutup lelangit mulut bayi agar bayi sumbing lebih selesa untuk menyusu seperti biasa.

Plat gigi ini boleh dibuat oleh pakar ortodontik bagi mengikut bentuk mulut bayi dalam masa dua ke tiga hari pertama selepas kelahiran. Bagaimanapun, cara penyusuan untuk bayi sumbing yang menggunakan plat gigi adalah sedikit berbeza. Justeru, ibu perlu berhati-hati dengan penempatan puting supaya tidak tercedera.

3. Posisi yang sesuai juga amat penting ketika sesi penyusuan bayi. Kepala bayi perlu tegak dan rapat dengan payudara bagi mengelakkan bayi daripada tersedak dan susu mengalir ke telinga. Ibu perlu memegang payudara ketika menyusu bayi dan pastikan bayi disendawa dengan betul selepas menyusu.

4. Banyakkan sentuhan kulit ke kulit dengan bayi untuk membina ikatan yang lebih erat. Ini juga boleh membantu bayi berasa lebih selesa dan menyumbang kepada perkembangan yang lebih baik. Sentuhan kulit ke kulit juga dapat merangsang refleks bayi untuk menyusu lebih kerap.

5. Jika bayi masih mempunyai kesukaran untuk menyusu badan, jangan risau. Ibu boleh menggunakan puting, botol, picagari, nipple shield atau cup feeding yang sesuai untuk bayi sumbing.

Apapun, ibu perlu bersabar dan bersikap positif ketika proses ini. Dapatkan bantuan, sokongan dan tunjuk ajar daripada pakar laktasi yang bertauliah kerana ia sangat penting untuk menjayakan penyusuan ibu. Semoga bermanfaat!

Sumber: The AsianParent Malaysia

Ad Ops