Siapa yang tidak mahu anak mereka pandai belajar dan cemerlang dalam bidang akademik.

Bahkan tiada salahnya jika ibu bapa pada zaman ini lebih memberi fokus pada  kemahiran membaca, menulis dan mengira dengan cepat untuk anak-anak mereka. 

Bagaimanapun, dalam mengenengahkan konsep berorientasi pendidikan (education-orientated), harus diingat bahawa kemahiran asas lain dalam kehidupan juga adalah sama penting.

Mengabaikan kemahiran asas dalam proses tumbesaran anak-anak, antara punca mengapa kanak-kanak hari ini kurang berdikari dan malas.

Implikasinya apabila besar nanti, mereka mengalami masalah untuk bertahan dalam kehidupan yang penuh pancaroba? 

Contohnya anak anda menyambung pengajian diluar negara dan kehabisan wang. Di dapur hanya ada secupak beras dan telur (itupun kepunyaan teman serumah) tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk memasaknya, malah buka gas pun tidak pandai. 

Nak minta bantuan teman serumah, seorang pun tiada di rumah! Akhirnya berlaparlah anak anda sampai ke pagi.

Jangan salahkan anak jika mereka menjadi terlampau manja. Kalau anda sendiri yang tidak pernah mengajar mereka kemahiran asas kelangsungan hidup (basic survival skills).

Kemahiran hidup ini penting untuk masa depan mereka. Akademik yang cemerlang saja tanpa kemahiran tidak menjamin kejayaan seseorang.

Begitu pun dengan adanya kemahiran, seseorang pasti mampu melangkah jauh.

Oleh itu, mulakan kemahiran asas kehidupan ini di rumah dengan menjadikan ia aktiviti yang menyeronokkan. 

 

1. Memasak

Foto: tramshedssydney

Ibu bapa perlu melibatkan anak secara aktif dalam tugas membeli barang dapur, menyediakan bahan dan memasak menu yang sihat kerana ini adalah satu daripada kemahiran paling asas dalam hidup seseorang. 

 Pada usia 12 tahun, anak-anak sepatutnya sudah pandai memasak menu mudah seperti pasta dan telur dadar.

 

2. Mengemas meja selepas makan

Foto: Stocksy United

 Ajar anak seawal usia empat atau lima tahun supaya membawa sendiri pinggan selepas makan ke sinki dan bantu ibu bapa untuk mengelap dan membersihkan segala tumpahan di atas meja makan.

 

3. Mencuci pinggan

Foto: rismedia.com

Mulakan mengajar anak dengan membasuh pinggan dan cawan plastik. Apabila genggaman sudah agak stabil, mereka boleh mula membasuh pinggan kaca atau seramik. Pastikan segala kotoran dan buih sabun dibilas dengan bersih.

 

4. Mengemas katil dan bilik

Foto: UrbanMoms

Tukar cadar, sarung bantal dan duvet. Ajar mereka cara menarik cadar dengan kemas dan menyusun bantal dengan tersusun. Pastikan mereka mengemas katil setiap hari.

 Selain itu, ajar anak untuk menyapu dan mengelap bilik mereka. Dengan cara ini, mereka akan menjadi lebih bertanggungjawab dan anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga.

 

5. Membasuh baju

Foto: maisondepax.com

Tugas mendobi kini menjadi semakin mudah dengan mesin basuh automatik, cuma perlu tekan butang ‘on’ dan tuangkan serbuk pencuci sahaja, namun anda masih perlu mengajar anak untuk mengasingkan baju kotor mengikut warna dan fabrik. Mereka juga perlu meleraikan segala pintalan pada baju sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh.

 

6. Menyidai dan melipat kain

Foto: memorizacaorapida

Mereka perlu tahu cara menyidai yang betul supaya pakaian boleh kering dengan cepat dan sekata. Begitu juga dengan melipat baju. Anak-anak perlu diajar cara melipat pakaian dengan betul supaya tiada kedutan dan baju boleh terus dipakai tanpa perlu menggosok.

 

7. Menggosok baju

Foto: Laundrapp

Anda boleh mula mengajar anak menggosok baju sekitar usia 10 tahun, namun anda perlu berhati-hati dan memastikan mereka faham bahawa seterika itu panas serta perlu berwaspada ketika menggunakannya.

 

8. DIY mudah

Foto: Happiness is Homemade

Lakukan kerja buat sendiri atau do-it-yourself (DIY) yang boleh diselesaikan sendiri tanpa mengupah orang lain. Minta bantuan anak anda untuk menggantung gambar, menukar tombol pintu dan membaiki perkakas dan perabot kecil.

 

9. Menguruskan wang

Foto: Mother, Baby & Child Magazine

Anak-anak akan membesar menjadi seorang yang boros dan tidak tahu kepentingan wang sekiranya tidak diasuh dari awal. Ajar anak-anak cara menguruskan wang dengan baik dan sebaiknya mulalah menabung wang saku jika mereka inginkan sesuatu.

 

10. Seni mempertahankan diri

Foto: colorado-martialarts

Kejadian menculik kanak-kanak, perogol dan kaki buli di sekolah cukup sinonim dengan masyarakat kita kebelakangan ini. Penting sebenarnya belajar seni mempertahankan diri untuk mengelakkan diri daripada serangan orang jahat seperti ini. Sekiranya ibu bapa tidak pandai hendak mengajar anak teknik-teknik mempertahankan diri, bolehlah daftarkan mereka masuk kelas tae kwan do atau silat.

 

11. Bercucuk tanam

Foto: constructioncaribbean.com

Biar anak anda lihat sendiri bagaimana pokok yang mereka tanam membesar hari demi hari. Ajar mereka bagaimana benih boleh bercambah, faktor yang mempengaruhi pertumbuhan pokok dan rekodkan tumbesaran pokok itu. Minta anak menamakan pokok itu dan anggap ia sebagai ‘pet’ atau tumbuhan peliharaan mereka yang perlu dijaga setiap hari.

 

12. Menguruskan masa

Foto: Today Show

Ajar anak untuk menepati masa. Dalam konteks ini, ibu bapa sendiri perlulah menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak. Tiba awal sekurang-kurangnya lima minit sebelum apa-apa janji temu. Jangan biarkan mereka sampai lewat ke sekolah dan jangan gunakan alasan trafik sesak sekiranya lambat.

Didik mereka supaya mudah bangun pagi dan buat satu jadual rutin untuk mereka penuhi. Ajar mereka cara membaca jadual waktu kelas dan minta mereka mengemas sendiri buku mengikut jadual setiap hari.

 

13. Pertolongan cemas

Foto: Foap

Ajar anak cara merawat luka kecil akibat terjatuh atau cara mengecutkan benjolan akibat terhantuk.
Selain itu, anda juga boleh mengajar anak cara menguruskan situasi cemas dengan menghafal nombor telefon ambulans, polis atau memanggil saudara berhampiran.

Ini amat berguna sekiranya ibu atau bapa tiba-tiba jatuh sakit dan tidak sedarkan diri di rumah.
Apabila ada kemahiran seperti ini, ibu dan bapa tidak perlu risau dan boleh berlapang dada kalau anak perlu tinggal di asrama atau dah masuk kolej. Pandai berdikari!