Categories: Program TVTV9

Menariknya! TV9 Pupuk Semangat Patriotisme Si Cilik Dalam Kelas Kuih Malaysia

Stesen Televisyen TV9 tampil menganjurkan Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Media Prima Berhad yang akan tiba pada 31 Ogos ini.

Bertemakan Manis Pahit Bersama, Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 ini telah berlangsung di Sarang Cookery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur dari pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang, hari ini.

Dengan penyertaan seramai 10 penonton cilik bertuah sekitar usia 6 hingga 12 tahun, mereka perlu menyediakan tiga hidangan kuih seperti ketayap, angku dan putu mayam.

Khairunnisa Kamarulzaman ketika ditemu bual media di Sarang Cookery. FOTO Instagram TV9

Menurut Pengurus Besar Pengurusan Program dan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman, objektif kelas kuih ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan kepada generasi muda tentang aneka juadah dari pelbagai kaum Malaysia yang menjadi satu identiti dan keunikan yang tidak terdapat di negara lain.

“Bersempena dengan bulan kebangsaan yang bakal tiba, Jaguh Kartun TV9 ingin membawa adik-adik belajar membuat kuih-muih tradisi Malaysia.

“Memandangkan sekarang ada banyak makanan viral yang mengetengahkan makanan barat dan sebagainya. Jadi fokus kami adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka tentang makanan malaysia yang mereka perlu tahu diusia muda.

“Justeru, keunikan makanan tradisi ini perlu diberi pendedahan yang optimum bagi memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara, serta tidak lupa tentang keaslian makanan tradisi kita,” katanya.

Suasana ketika Kelas Kuih Malaysia dijalanlan di Sarang Cookery. FOTO Instsgram TV9

Pemilihan peserta Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 telah diadakan menerusi penghantaran rakaman video tidak melebihi 30 saat yang bermula dengan, “Saya ingin belajar buat kuih tradisi Malaysia sempena Hari Kebangsaan ini kerana…”. TV9 telah menerima lebih daripada 40 penyertaan dalam tempoh peraduan yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 12 Ogos 2023. Hanya 10 penonton cilik dalam lingkungan umur 6 hingga 12 tahun ini telah dipilih berdasarkan jawapan mereka yang memberangsangkan!

Ingin mengetahui perkembangan TV9 dengan lebih lanjut? Ayuh ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial dan layari http://www.xtra.com.my/ untuk maklumat lanjut terkini tentang program TV9.

Fatin Nurain