Categories: Sihat

Wanita Mudah Naik Hantu Bila Nak Period, Kenapa Ya?

Pasti ramai yang ingin tahu kenapa wanita cepat naik darah, moody dan sensitif terlebih bila nak dekat period? 

Apa kaitan period yang juga disebut sebagai menstruasi, haid atau datang bulan dengan emosi wanita?

Pakar perunding obstetrik dan ginekologi, Dr Suraya Arshad, berkata, emosi dan perasaan seseorang wanita banyak dipengaruhi oleh hormon yang terdapat dalam tubuh mereka. 

Dua hormon utama paling aktif dalam tubuh wanita adalah hormon estrogen dan progesteron. Kedua-dua hormon ini mempunyai kuasa dan pengaruh yang cukup besar dalam setiap fasa kehidupan seseorang wanita.

Foto: Detik Health

“Sekiranya berlaku ketidakseimbangan pada hormon-hormon ini, maka ia boleh menyebabkan perubahan terutama kepada mood wanita terbabit,” katanya.

Gejala yang biasa berlaku kepada wanita sebelum pusingan haid (Pre-menstrual syndrome – PMS) antaranya mereka mudah keletihan, mudah tersinggung, perut kembung, masalah jerawat, tiada mood dan selera makan bertambah.

PMS biasanya terjadi seminggu sebelum seseorang wanita mengalami pusingan haid. Bagaimanapun ia akan hilang beberapa hari selepas haid berlaku.

Foto: Trevor Loudon

Hormon ini dihasilkan oleh kelenjar ovari. Penghasilannya dipengaruhi oleh sebahagian hormon yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari dalam otak.

Peranan kedua-dua hormon ini bukan sekadar hanya mengatur pusingan haid seperti perubahan pada dinding rahim dan pengeluaran darah haid.

Pada masa yang sama hormon-hormon ini mempunyai kesan pada tisu-tisu tubuh. Ini termasuklah buah dada, tulang, pembuluh darah, jantung, saluran usus, pundi kencing dan kulit.

Dr. Suraya menjelaskan lagi, ketidakseimbangan hormon-hormon estrogen dan progesteron boleh menyebabkan perubahan kepada wanita terbabit.

Foto: sidhanews

“Ini termasuklah perubahan tingkah laku atau emosi yang menyebabkan mereka menjadi seorang yang mudah sensitif, tertekan, mudah marah atau mengalami kemurungan. Bagaimanapun, bukan semua wanita melalui perubahan emosi seperti ini,” katanya.

Ujarnya, bermula peringkat bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah mencecah ke usia emas, terlalu banyak perubahan fisiologi dan biologi yang harus dilalui oleh seseorang wanita.

Pusingan haid, kehamilan, keadaan selepas bersalin, ketidaksuburan dan menopaus boleh mengakibatkan perubahan mood yang menyebabkan seseorang wanita seolah-olah mengalami kemurungan.

Malah, para penyelidik turut mengesahkan bahawa hormon boleh mempengaruhi pengeluaran endorfin yang berfungsi mengawal emosi dan mood.

Sumber: Utusan

 

Yanie Baharom