Categories: Cahaya MataTrending

10 Tahun Kahwin, Min Yasmin Bersalin Anak Sulung Pada Usia Kandungan 30 Minggu – “Ini Memang Bayi Terkejut”

Penyanyi Min Yasmin telah selamat melahirkan cahaya mata sulung pada Sabtu lalu kira-kira jam 7.49 malam di Hospital Kanak-Kanak dan Wanita, Kota Kinabalu, Sabah.

Memetik laporan mStar, Min menimang bayi lelaki yang dilahirkan secara pembedahan dengan berat 800 gram pada usia kandungan 30 minggu.

Kongsinya, doktor terpaksa melakukan pembedahan kerana dia mengalami tekanan darah tinggi.

“Saya buat pemeriksaan dan mendapati bacaan tekanan darah sangat tinggi. Jadi doktor terpaksa lakukan pembedahan sebab tidak mahu beri kesan kepada bayi dalam kandungan.

“Ketika itu pun, jantung bayi agak perlahan. Syukur sekarang semuanya selamat, tetapi bayi masih lagi di bawah pemantauan,” jelasnya kepada wartawan mStar.

Bukan itu sahaja, dia juga bersalin anak pertama itu tanpa suaminya, komposer Julfekar di sisi kerana berada di Filipina atas urusan kerja.

“Kami pun tak jangka akan sambut awal kelahiran ini. Suami saya ke Filipina atas urusan kerja. Selepas selamat bersalin, saya beritahu supaya tidak perlu terlalu segera nak pulang dan selesaikan dahulu kerja.

“Bayi ini memang bayi terkejut. Masa awal kehamilan kami tidak tahu sehinggalah tempoh hamil empat bulan. Sekarang bersalin pun terkejut juga,” katanya.

Dia juga memaklumkan barangan bayi masih belum lengkap dibeli kerana jangkaan bersalin pada November ini dan nama anak masih belum diputuskan.

“Barang-barang bayi belum cukup sepenuhnya. Tetapi memandangkan sekarang masih di hospital, jadi mungkin tidak perlu banyak barang.

“Nama anak juga belum fikir. Disebabkan bayi lelaki kami akan turut letak Muhammad pada awal nama,” tuturnya lagi.

Untuk makluman, Min dan Julfekar telah berkahwin pada April 2014 dan ini merupakan anak pertama mereka.

Sumber: mStar

Atiqah Johari