Categories: Trending

“Assalamualaikum Abang Zayn, Rindunya Mommy Dekat Abang,” – Ibu Zayn Rayyan

Ibu kepada kanak-kanak lelaki autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf meluahkan rasa rindu yang tidak terhingga kepada anak syurganya itu menerusi sebuah hantaran di Instagram Story (IGs) miliknya semalam.

Gambar pusara anaknya yang dimuat naik itu turut disertakan dengan kapsyen yang menyentuh perasaan.

“Assalamualaikum Abang Zayn, rindunya mommy dekat abang,” tulisnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi gambar yang menyorot kembali detik dia bersama Zayn Rayyan dan seorang lagi anaknya yang diambil pada awal tahun 2023.

Menerusi gambar tersebut, Ismanira mengatakan bahawa pada waktu tersebut, dia tidak pernah terlintas atau terfikir pun kejadian buruk yang bakal terjadi di kemudian hari.

Perkongsiannya itu ternyata telah menyebabkan pengikut media sosial Ismanira turut terkesan dengan pemergian adik Zayn serta merasai kesedihan yang ditanggung.

Bahkan, rata-rata netizen mendoakan agar Ismanira diberi kekuatan dan kesabaran yang tinggi untuk menerima ujian yang berat tersebut.

Sementara itu, warganet yang sudah menganggap Zayn Rayyan seperti anak sendiri, tidak putus berharap agar keadilan berpihak kepada anak istimewa itu.

Mereka turut mendoakan agar pelaku yang tidak berhati perut melakukan perbuatan terkeji itu segera diberkas polis serta dijatuhkan hukuman seadil-adilnya.

Terdahulu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam 6 Disember lalu selepas dilaporkan hilang lebih 30 jam.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badan.

Syamir Shafie