Categories: Trending

Berhentikan Sekolah Antarabangsa, Anak-Anak Fazley Selesa Belajar Dari Rumah

Cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob, 43, mengakui dia menghentikan persekolahan tiga anak lelakinya di sebuah sekolah antarabangsa semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan awal tahun ini.

Kini, Ahmad Fariedz Shah, 13; Ahmad Fieradz Shah, 12; dan Ahmad Firudz Shah, 10, bersekolah secara dalam talian di rumah dengan mengikuti sistem Wolsey Hall Oxford dari United Kingdom.

“Sejujurnya, saya risaukan keadaan anak-anak di sekolah kerana situasi pandemik yang berlaku. Saya rasa bersyukur kerana semenjak mereka bersekolah secara dalam talian, mereka kelihatan gembira, selesa dan lebih fokus pada pelajaran.

“Apa yang boleh saya katakan, kaedah ini tak jauh bezanya dengan konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Tetapi, sistem terbabit memerlukan saya dan isteri menjalankan tanggungjawab untuk memantau apa yang dipelajari oleh anak-anak.

“Sebenarnya, saya ambil masa sebulan juga untuk membuat keputusan memberhentikan anak-anak di sekolah antarabangsa dan bersekolah di rumah. Insya-Allah selepas segalanya pulih seperti dahulu, saya dan isteri akan tetap menghantar anak ke sekolah,” katanya.

Fazley ditemui di majlis prebiu buffet Ramadan Sajian Merentasi Zaman di Hotel Four Season Kuala Lumpur (FSKL) baru-baru ini.

Air tangan Fazley digunakan untuk menyediakan Sajian Merentasi Zaman yang menawarkan pelbagai hidangan tradisional dari serata negeri dalam Malaysia sepanjang bulan Ramadan ini.

“Tahun ini tahun ketiga saya berkolaborasi dengan FSKL. Pelbagai menu enak tradisional bakal saya dan team sediakan untuk memberi peluang pengunjung mengimbas semula kenangan berbuka puasa dengan ibu bapa dan keluarga di kampung.

“Hidangan yang lazat itu adalah untuk mengingati kenangan zaman kanak-kanak dan membesar bagi pelanggan seusia saya terhadap kampung halaman. Semuanya enak-enak belaka, jadi jangan lepaskan peluang untuk mencubanya,” katanya lagi.

Padin