Categories: Trending

Bertuah Badan! Mila Jirin Taja Majlis Sanding Datin Seri Heliza Helmi & Suami – “Segan, Hadiah Itu Besar Nilainya… Tapi Dia Bersungguh”

Penyanyi dan usahawan Mila Jirin bermurah hati menaja majlis persandingan rakan baiknya, penyanyi dan aktivis Datin Seri Heliza Helmi dan suami, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman pada Sabtu.

Majlis yang mengangkat tema ‘Malam Islamik’ berlangsung meriah di Bizmilla Grand Ballroom, Eco Sanctuary, Selangor itu turut meraikan persahabatan Heliza dan Mila yang kini merupakan pemilik empayar bisnes perkahwinan, Bizmilla Wedding Centre.

“Selesai majlis pernikahan dan resepsi, saya dan suami tak ketinggalan diraikan teman baik yang bersungguh sungguh menganjurkan beberapa majlis.

“Mila sendiri tak ketinggalan. Saya telah bersahabat baik dengan Mila selama 15 tahun. Ia bermula semenjak kami terlibat dalam satu program realiti nyanyian pada tahun 2007.

“Dia memang berniat sekian lama. Kalau saya kahwin, dia mahu berikan hadiah majlis persandingan. Ketika dia suarakan hasrat itu, saya terkejut. Malah bertambah segan kerana hadiah itu terlalu besar nilainya.

“Tapi dia bersungguh-sungguh nak juga memenuhi niat terbuku itu. Akhirnya saya tewas. Lantas saya pun teringat Rasulullah SAW sendiri tidak menolak hadiah pemberian sahabatnya. Saya pun ikut sunnah Nabi dengan menggembirakan Mila,” katanya.

Pada majlis terbabit, tetamu yang hadir mengenakan jubah hitam bagi wanita dan putih untuk lelaki.

“Majlis Maulid juga diadakan seperti sebelum ini bertujuan memuliakan Rasulullah SAW. Turut diadakan majlis bacaan Al-Quran serta perkongsian ilmu bermanfaat daripada golongan asatizah.

“Tema Malam Islamik dipilih pun kerana mahu memudahkan tetamu yang hadir tanpa fikir panjang atau rasa terbeban. Saya dan suami yakin, jubah hitam setiap wanita akan memilikinya. Begitu juga jubah putih yang tentunya ada dalam almari baju golongan lelaki.

“Cuma untuk kelainan, Mila cadangkan saya dan suami mengenakan songket berwarna biru lembut. Saya jarang memakainya. Tapi saya meraikan cadangan itu,” katanya lagi.

Terdahulu, Heliza mengejutkan ramai pihak dengan mengakhiri zaman bujangnya ketika membuka tirai tahun 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Heliza Helmi Sah Bergelar Isteri Datuk Seri

Heliza selamat bergelar isteri kepada Mahadi pada 1 Januari lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Kredit Foto: Bizmilla Wedding Centre

Padin