Categories: Trending

Budak Enam Tahun Selamatkan Ibunya Dari Terusan Menjadi Mangsa Keganasan Bapa

Penderitaan seorang isteri yang menjadi mangsa keganasan suami berakhir, apabila anak perempuan pasangan itu yang baru berusia enam tahun mendedahkan perbuatan tersebut kepada guru sekolahnya.

Dia bertindak sedemikian selepas melihat ibunya menderita dan memberitahu guru tersebut bahawa “bapanya seorang yang nakal”.

“Bapa sakiti ibu. Ibu kata ibu sayangkan bapa tapi bapa sentiasa sakiti ibu,” kata kanak-kanak itu yang tidak didedahkan namanya.

Kanak-kanak di sekolah berkenaan sememangnya diajar untuk memberitahu guru mereka jika mereka dibuli.

Selepas mendengar aduan anak kecil itu, guru itu segera membuat laporan polis yang bertindak menahan Scott Keegans, 34, selepas menyeksa isterinya Jodie, 36.

Scott dipenjara 18 tahun oleh sebuah mahkamah Sheffield selepas hakim mendapati dia bersalah terhadap enam pertuduhan melakukan penderaan, serangan seksual dan rogol.

Hakim menyifatkan kes tersebut sebagai paling kejam pernah dikendalikannya dalam tempoh 30 tahun.

Foto: Mirror

Mengimbau kembali insiden ngeri itu, Jodie menyifatkan kehidupannya bagaikan babak dalam filem ngeri sepanjang tempoh tiga tahun di mana dia sering dipukul suaminya itu.

“Saya fikir ini adalah hari saya akan mati. Saya dipukul selama dua jam tanpa belas kasihan menggunakan kayu penguli.

“Wajahnya berubah. Dia kelihatan seperti Joker. Dia pukul tapak kaki saya sehingga saya tidak dapat berjalan.

“Dia hanya berhenti apabila letih dan beritahu saya dia mahu tidur. Pada pukul 9 pagi dia kejutkan saya dan minta saya pergi ke dapur dan kemudian bertindak memukul saya semula.

“Saya rasa amat sakit dan jantung saya berdegup kencang. Apabila saya pergi ke hospital, mereka fikir saya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Saya kata bukan… kecederaan ini dilakukan suami saya,” katanya.

Sumber: mStar

Yanie Baharom