Categories: Trending

COVID-19: Salun Dan Kedai Gunting Rambut Masih Belum Dibenarkan Operasi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan untuk tidak membenarkan pembukaan kedai gunting rambut dan salun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan masih dilaksanakan.

Keputusan ini dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pakar, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga rakyat Malaysia. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Menteri Kanan Kluster Keselematan Dato Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri telah memutuskan untuk tidak membenarkan pembukaan salun kecantikan, kedai cermin mata serta kedai gunting rambut sepanjang tempoh PKP ini.

“Saya kira ini menjawab segala persoalan yang ditimbulkan rakyat, maka Perdana Menteri sendiri memutuskan tidak ada lagi isu berkaitan kedai gunting rambut dan sebagainya,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi bagi fasa tiga PKP bermula 15 April ini. Antara kedai yang dibenarkan untuk beroperasi adalah kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan perdebatan orang ramai tentang kemungkinan akan wujud kluster baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia di premis berkenaan.

Dalam pada masa yang sama, majoriti pengusaha kedai gunting rambut dilaporkan sanggup menanggung kerugian dengan menutup kedai daripada menjalankan operasi yang mungkin akan berhadapan dengan risiko penularan jangkitan COVID-19 ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

Sumber: Berita Harian

Aisyah Badrul

Shes got a 70s head but shes a modern lover