Categories: Trending

Doktor Melecur Selepas Bilik Dibakar Pesakit Mental

Seorang lelaki berusia 30 an yang bertindak membakar bilik doktor akhirnya menimbulkan kekecohan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.

Ini kerana suspek yang dipercayai mengalami masalah mental menyimbah petrol sekaligus menyebabkan doktor tersebut mengalami kecederaan melecur di badan.

Menurut, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain pihaknya menerima panggilan jam 4.55 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

Bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati api berjaya dipadamkan melalui sistem ‘sprinkler’ secara automatik di bilik berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian terdapat doktor dan pembantunya di dalam bilik berkenaan.

” Hanya 50 peratus dalam bilik yang terbakar. Kami dimaklumkan ada cubaan membakar dari suspek dengan menyimbah minyak dalam bilik doktor.

“Suspek bagaimanapun berjaya membakar dan menyebabkan kebakaran dalam bilik. Apabila kebakaran tercetus, ia kena pada sistem sprinkler, dan api dipadamkan dengan serta merta,” katanya.

Difahamkan doktor dan pembantunya mengalami kecederaan selepas bergelut dengan suspek ketika cuba menghalang tindakan lelaki itu yang mahu membakar bilik berkenaan.

Doktor lelaki berusia 50-an melecur kira-kira 30 peratus pada badan, manakala jururawat berusia 30-an melecur lima peratus di bahagian muka dan badan.

Tiga jururawat yang lain masing-masing cedera ringan pada jari, dan suspek turut mengalami kecederaan di tangan dan dada.

Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan dan ditempatkan di wad hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, polis sudah menahan suspek dan masih menyiasat sama ada dia mempunyai masalah mental atau sebaliknya.

SGMS Faida