Categories: Trending

Gamit Memori, Ne-Yo Hiburkan Hampir 3,000 Peminat

Bintang terkemuka dari Amerika Syarikat, Ne-Yo yang mengadakan konsert ‘Ne-Yo Live In Malaysia’ melabuhkan tirainya Sabtu lalu dimeriahkan dengan kehadiran hampir 3,000 peminat yang memenuhi Dewan Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Bermula jam 8.30 malam, aksi lincah dan istimewa Ne-Yo nyata bertenaga, menghiburkan dan menggamit nostalgia.

“Luar biasa! Ne-Yo menjangkaui semua ekspektasi dengan memberikan persembahan yang penuh energetik dan mengimbau nostalgia peminat muzik R&B di awal tahun 2000 yang turut menyanyikan bersama lagu-lagu kegemaran mereka ketika zaman muda-muda dahulu.

“Walaupun dewan konsert menyediakan tempat duduk, ini bukanlah penghalang bagi penonton untuk turut berdiri dan bergembira sepanjang berlangsungnya persembahan,” kata Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions.

Malam konsert dibawakan khas oleh penganjur acara Hitman Solutions dan Happymoon itu dimulai oleh Ne-Yo dengan persembahan bertenaga menyanyikan lagu paling hit ‘Miss Independent’ dan disusuli dengan ‘She Knows’, ‘Because of You’, ‘One In A Million’ dan lain-lain.

Kemudian, penyanyi itu mempamerkan vokalnya yang mengasyikan melalui segmen akustik mendendangkan lagu ‘Do You’, ‘Mad’ dan ‘You Should Let Me Love You’, diikuti dengan beberapa segmen lain memberi kepelbagaian mood persembahan ketika konsert.

Penonton di dalam dewan terpaku selama kira-kira 80 minit sepanjang berlangsungnya persembahan kerana tiada momen ‘idle’ dari Ne-Yo yang membawakan bukan sahaja lagu-lagu ciptaannya sendiri bahkan hasil ciptaan untuk artis-artis terkemuka yang lain mempamerkan sisi berbeza dirinya sebagai penulis lagu dan juga komposer berbakat.

Menurut Kesavan Purusotman atau KC, Pengasas Happymoon, mereka memilih Ne-Yo kerana terdapat ‘fanbase’ yang besar di Malaysia.

“Ramai yang merindui lagu-lagu R&B nyanyian beliau dengan elemen hip-hop yang masih segar diingatan. Kebolehan Ne-Yo berinteraksi dengan penonton juga amat menakjubkan kerana berjaya mengajak kesemua yang hadir untuk turut serta bernyanyi selain membawa kembali kenangan manis sewaktu di alam remaja,” katanya.

Pulang dengan perasaan puas hati, konsert ini ternyata mengukir senyuman mereka yang membesar dan melalui zaman remaja mereka dengan Ne-Yo.

Padin