Categories: Trending

“Itu Perkara Normal” – 15 Tahun Dalam Industri, Yuna Lali Dikecam

Nama Yuna memang tidak asing lagi dalam dunia seni, bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara penyanyi berusia 35 tahun itu sering menjadi tumpuan peminat.

Memetik laporan mStar penyanyi yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu sedar dengan kritikan namun tidak pernah mengambil serius tentang kata-kata negatif yang dilemparkan.

“Saya tidak pernah baca komen negatif tentang saya. Kenapa perlu ambil tahu perkara yang boleh memperlahankan kerja saya.

“Apa yang penting adalah saya ikhlas buat kerja dan tidak akan membiarkan perkara negatif memberi kesan kepada diri.

“Tidak mengapalah orang nak bercakap sekali pun. Itu perkara normal… 15 tahun dalam industri saya sudah terbiasa,” katanya kepada mStar.

Pelantun lagu Forevermore itu juga menegaskan bahawa sudah lali berdepan dengan kritikan dan kecaman.

Bercerita tentang karier seninya, Yuna kini dilihat sedang sibuk menyiapkan album terbaharunya disamping sedang bekerjasama dengan penyanyi Aizat Amdan untuk projek terbaharunya.

Selain itu, penyanyi bergenre Pop dan R&B itu berharap akan kembali pulang ke tanah air bagi menghiburkan peminat.

“Insya-Allah saya mahu mengadakan konsert di Malaysia tetapi sebelum itu saya akan mengadakan konsert jelajah di beberapa buah bandar di Amerika bermula November depan,” katanya.

Selepas beberapa single terbaru iaitu Y1, Y2 dan Y3 yang dilancarkan kepada pendengar bulan lalu, kini Yuna sibuk menjalankan penggambaran untuk single terbarunya Y5.

Sumber: mStar

Khairil Khusyairi