Categories: Trending

Jangan Sampai Perlu Pilih Hidup Atau Mati – Dr Noor Hisham Abdullah

Berikutan trend jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan agar masyarakat Malaysia sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar kita tidak perlu memilih siapa yang hidup, siapa yang mati.

Menurutnya, meskipun kita masih berkemampuan dari segi kemudahan kesihatan, ia bukan alasan untuk rakyat terus mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita tidak mahu berakhir seperti beberapa negara apabila kita memilih siapa yang hidup dan siapa yang mati.
“Ketika ini kita masih ada kapasiti, tetapi kita sarankan semua rakyat untuk pastikan mereka mematuhi SOP sebab kita berada dalam situasi kritikal.

Dr Hisham juga memaklumkan katil di hospital awam dan hospital kerajaan kini semakin penuh dan ketika ini negara memerlukan masa untuk melaksanakan pendekatan luar biasa untuk menangani penularan Covid-19.

“Ini adalah tempoh luar biasa dan kita memerlukan pendekatan luar biasa. Ini bukan waktu kebiasaan apabila kita boleh berpuas hati.
“Jadi, kita harap semua agensi dan sektor relevan berkenaan akan mengikuti garisan panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tiada perhimpunan besar kerana ia sebenarnya punca jangkitan.
“Kita cuba mengelak majlis super spreader (perebak utama). Jika kita boleh mengelak majlis itu seperti majlis perkahwinan atau kematian,” katanya.

 

Sumber : Bernama

Salma Syahbuddin