Categories: Trending

Kadar Faedah Pinjaman Dikekalkan – BNM

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi rujukan kadar faedah pinjaman tempatan pada 1.75 peratus.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif memandangkan langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan serta isi rumah selain memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

Menurut BNM,  ekonomi global terus kukuh disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan, meskipun pada kadar pemulihan berbeza-beza antara negara.

“Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik dan potensi risiko turun naik tidak menentu pasaran kewangan yang ketara,” katanya.

Katanya, kegiatan ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama 2021 berterusan sehingga April. Namun, pelaksanaan semula langkah pembendungan di seluruh negara untuk mengekang penularan semula kes COVID-19 akan memperlahankan momentum pertumbuhan.

 

Sumber : BH

Salma Syahbuddin