Alif Satar Sertai Ekspedisi Daki Jabal Nur – “Tak Boleh Bayang Macam Mana Dulu Nabi Muhammad SAW Panjat Sendirian”

Pelakon dan penyanyi, Alif Satar menzahirkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk mendaki gunung bersejarah, Jabal Nur ketika menunaikan ibadah umrah.

Menerusi perkongsian Alif di laman Instagram, dia sangat gembira kerana berjaya menyelesaikan ekspedisi terbabit bersama rakan-rakannya.

“Ekspedisi Jabal Nur. Syukur diberi kudrat dan peluang untuk panjat ke gua bersejarah. Ni lah tempat Rasulullah SAW didatangi Malaikat Jibril.

“Nabi Muhammad SAW melihat Jibril dalam ciptaan rupa sebenar buat kali pertama dimana dari kitab sahih Imam Bukhari dan Muslim. Jibril datang dan buka 600 sayap dan menutupi ufuk, Masya-Allah,” tulis Alif.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Cukup Indah itu mengakui tenaganya tidak seperti Rasulullah yang mampu mendaki gunung Jabal Nur secara berseorangan.

“Tak boleh bayangkan macam mana dulu Nabi Muhammad SAW panjat Jabal ni sendirian, takda lampu dan tak ada tangga.

“Kami semua ni kayuh basikal lah, pergi gym, main badminton, dan hari ni semua dah pakat sakit kaki,” tulisnya lagi.

Hasil tinjauan di ruangan komen, wargamaya berkongsi pengalaman mereka ketika mendaki Jabal Nur dan ada juga yang menzahirkan rasa rindu mereka untuk kembali ke sana lagi.

“Rindu.

“Adik saya sampai beli tongkat nak naik, mengah but still wonderful experience.

“Teringat dulu panjat Jabal Nur pagi-pagi buta pukul 3 pagi, driver van pula bawa macam kereta rally naik atas. A lot of cute cats and the views was stuning,” komen warganet.

 

Halimey Zamal