Dipercayai Dicekik Dengan Tujuan Membunuh, Misteri Kehilangan Influencer Antarabangsa Gabby Petito Semakin Terungkai

Selebriti media sosial antarabangsa popular, Gabby Petito, 22, yang ditemui mati dalam perjalanannya mengembara Amerika Syarikat bersama tunangnya, Brian Laundrie, telah dicekik dan kematiannya telah diklasifikasikan sebagai pembunuhan.

Menurut pegawai penyiasat Teton County, Brent Blue yang menguruskan kes kematian Gabby, mayat ‘travelling influencer’ tersebut dipercayai terbaring di sebalik semak samun di Wyoming selama hampir sebulan sebelum dijumpai pada pertengahan September.

“Kami disini telah menemukan cara dan sebab kematian iaitu cara kematiannya adalah dicekik dan pembunuhan adalah penyebabnya.

“Penemuan awal kami mendapati mayat berada di semak samun selama tiga hingga keempat minggu,” kata Blue.

Keluarga Gabby telah memfailkan laporan kehilangannya pada 11 September selepas gadis muda itu hilang tanpa khabar manakala tunangnya, Laundrie telah selamat pulang ke rumah di Florida tanpa gadis itu pada 1 September.

Laundrie yang berumur 23 tahun, menolak untuk bekerjasama dengan polis mengenai kes ini sebelum menghilangkan diri.

Gabby merancang untuk mengembara negara bersama tunangnya pada bulan Jun dengan hasrat untuk berkongsi pengalaman pengembaraannya bersama keluarga dan pengikutnya di media sosial. Dia juga ingin mengembangkan jumlah pengikut di media sosial melalui pengembaraan ini.

Kes kehilangan Gabby telah menjadi perbualan ramai oleh warga tempatan dan di media sosial seperti TikTok dan ramai yang mengesyaki tunang Gabby, terlibat dalam misteri kehilangan gadis itu.

Terdapat rakaman ‘body cam’ polis yang tular dikeluarkan pada 12 Ogos menunjukkan Gabby menangis dengan sedikit calar di mukanya.

Apabila anggota polis bertanya, Gabby menjelaskan terdapat perbalahan kecil yang berlaku antara dia dan tunangnya.

Sumber: AFP

Arfah