Sejak berdepan kemelut rumah tangga sejak tiga tahun lalu, isteri kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, isterinya, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berkata, permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.

Tambah Elly, dia mendakwa suaminya itu telah keluar rumah sejak enam bulan lalu. Malah dia akan turut memfailkan tuntutan hak jagaan anak dan nafkah anak.

“Tan Sri (Musa Hassan) pun sudah keluar rumah kelamin sejak enam bulan lalu. Selepas tuntutan cerai ini saya akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak saya yang berusia lapan tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Elly yang kelihatan sebak ketika ditemui media berharap proses penceraian tersebut berjalan dengan lancar.

Mahkamah menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan sebuah rakaman video pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak dalam rakaman itu.

Susulan itu, Musa tampil dengan satu kenyataan balas di Twitter dengan meminta orang ramai menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya susulan penularan video berkenaan.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Ogos 2013 dan dikurniakan seorang anak lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: “Masalah Privasi Keluarga, Jangan Ada Masuk Campur!” – Musa Hassan Bagi ‘Warning’, Individu Sebar Spekulasi Bakal Berdepan Tindakan Undang-Undang

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia Masih Isteri Saya” – Hampir 3 Tahun Berdepan Krisis, Musa Hassan Jelas Sudah 6 Bulan Tidak Sebumbung

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi