#JusticeForAlia: “Saya Mohon Maaf & Tiada Niat Mendera” – Pasangan Pukul Budak 4 Tahun Mengaku Bersalah, Berdepan Hukuman Penjara 12 Bulan Jika…

Susulan kes penderaan yang dilakukan oleh pasangan suami isteri terhadap kanak-kanak berusia empat tahun bernama Alia yang tular pada minggu lalu, Mahkamah Sesyen Bandar Bangi menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 masing-masing kepada tertuduh kerana melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

Malah, mahkamah turut memerintahkan tertuduh, Amira Hamzah, 28, dan suaminya yang juga warga Singapura, Muhammad Fitri Jasmani Josmani, 30, dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Memetik laporan Berita Harian, sebelum ini pasangan suami isteri itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Effandi Nazila Abdullah.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa secara bersama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagi kesalahan tersebut, pasangan ini didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama dengan memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara selama 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Amira yang tidak diwakili peguam turut merayu pengurangan denda dan mendakwa beliau tidak mempunyai niat untuk melakukan perbuatan mendera itu.

“Saya memohon maaf dan tiada niat mendera. Saya memang pukul tetapi saya mahu dia makan untuk mengelak dia kurang nutrisi,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid dalam hujah pemberatan berkata, tertuduh tidak amanah dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga mangsa.

Sementara itu, di mahkamah sama Muhammad Fitri, turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebihdaripada  tempoh dibenarkan di negara ini di lokasi sama pada jam 2.30 pagi pada 22 Julai lalu mengikut Seksyen 15 (1)(c) akta imigresen 1959/63 pindaan 2002 (akta a 1154) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama dengan memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Sumber/ kredit foto: Berita Harian

Salma Syahbuddin