#JusticeForBella: Saksi Ke-5 Dedah Bella Didera Setiap Malam Pada Setiap Hari Selama 4 Bulan

Saksi kelima kes penderaan yang membabitkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mendedahkan anak perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella didera pada setiap hari selama empat bulan.

Saksi penghuni Rumah Bonda bernama Yasmin Nahar Mahmood, 18, memberitahu kejadian penderaan tersebut berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Memetik laporan Bernama, difahamkan Yasmin dan seorang lagi penghuni Rumah Bonda telah digesa untuk memukul Bella.

“Saya dan Aida (penghuni rumah itu) turut diarahkan oleh Siti Bainun untuk memukul Bella,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun pada perbicaraan kesnya yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berumur 13 tahun itu.

Dalam pada itu, saksi berkenaan turut mendedahkan perwatakan Bella yang pada awal perjumpaan mereka dikatakan sangat periang dan suka bercakap, namun sikapnya mula berubah setelah berjumpa Siti Bainun.

“Bella takut sangat dengan Siti Bainun, sampaikan hendak keluar bilik pun dia takut-takut. Kena tengok kiri kanan,” kata Yasmin.

Tertuduh Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi melampau.

Bainun didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama

Aqilah Paharuzi