Lagu Baru Meer Nash Ditujukan Buat Bekas Kekasih

Penyanyi Meer Nash, 27, atau nama sebenarnya, Muhammad Shahmeer Mohd Nashrul kembali dengan single berjudul Kajima hasil ciptaannya bersama Brendan Lim Seng Meng, Seow Seng Tack, Wee Zhen Yong dan Asyraf Nasir.

Lagu yang menampilkan MFMF selaku penerbit dan ‘arranger’ itu dilancarkan secara rasmi pada 9 September dan diterbitkan oleh Universal Music Malaysia.

Menurut Meer Nash, lagu Kajima itu ditujukan kepada bekas kekasihnya yang membuatkan dirinya susah nak ‘move on’ selama dua tahun.

“Ini lagu ‘paling gelap’ yang saya tulis dan rakamkan setakat ini.

“Dengan sedikit elemen daripada filem seram KKN, rap dan puisi kanak-kanak. Turut diketengahkan juga dengan tarian Korea bagi melepaskan rasa kemarahan.

“Lagu ini sebenarnya ditujukan kepada bekas kekasih yang membuatkan saya susah nak ‘move on’ selama dua tahun. Apabila lagu ini siap ditulis, ia bermaksud saya sudah berjaya ‘move on’.

“Bahagian awal lagu ini, saya berasa marah dan hilang akal terhadap apa yang saya dah lalui sepanjang hubungan ‘tarik tali’ yang toksik, tapi hingga akhir lagu ini saya berjaya keluar daripada lorong gelap dan mencari diri sendiri,” katanya.

Idea menghasilkan lagu Kajima muncul ketika dia tidur petang.

“Pada ketika itu, mungkin saya masih lagi mencari jalan untuk ‘move on’ sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Idea ini dibawa kepada MFMF dan kami menyiapkan lagu ini dalam masa beberapa jam saja.

“Selepas itu, proses rakaman lagu pula mengambil masa selama empat jam dan diakui ini juga lagu yang paling susah untuk dirakam kerana ia genre yang baru untuk saya,” ujarnya.

Sekali lagi bekerjasama dengan MFMF selepas lagu Kembali pada Mac lalu, Meer Nash berkata mereka termasuk yang terbabit dalam penghasilan lagu ini saling membantu untuk memberikan hasil terbaik.

“MFMF mempunyai idea yang sangat segar untuk menambah baik pada idea asal saya. Tambahan pula, Asyraf Nasir membantu dalam proses penulisan bahagian rap.

“Bagi penghasilan video muzik, untuk kali pertama juga saya berkerjasama dengan WP Production dan saya kagum dengan alat yang mereka miliki seperti kren dalam industri muzik Korea,” katanya.

Bagi Meer Nash, apa pun cabaran ditempuh dia berharap lagu ini dapat dijadikan sebagai kekuatan kepada sesiapa sahaja yang berada di situasi seperti dirinya.

Dharnieya Nur Amelsa