Mekanik Bunuh Isteri Sehari Sebelum Hari Raya Aidilfitri Bakal Berdepan Hukuman Mati

Berita mengenai kematian seorang wanita yang dipercayai dipukul sehingga maut sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2 Mei lalu ternyata mencuri perhatian warganet.

Insiden yang dipercayai berlaku gara-gara mangsa yang berumur 28 tahun bertindak mendedahkan kecurangan suaminya di media sosial tular sebelum tertuduh bertindak memukul isterinya menggunakan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.

“Siasatan dijalankan mendapati mangsa dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Justeru itu, tertuduh yang juga merupakan seorang mekanik dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya itu di kediaman mereka di Cheras antara 12 tengah malam hingga 3.30 pagi.

Tertuduh yang dikenali sebagai Mohd Syawalludin Ismail, 38, didakwa membunuh Siti Nadirah Mohd Nazul, 28, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

 

Sumber / kredit foto: Harian Metro

Salma Syahbuddin