Hukuman Berat Menanti Ibu Bapa Jika Benarkan Anak Memandu Tanpa Lesen

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini menyarankan agar hukuman berat dikenakan kepada golongan ibu bapa yang membenarkan anak atau remaja di bawah umur memandu kenderaan tanpa lesen.

Beliau bersetuju hukuman berat itu dilaksanakan bukan sahaja terhadap pemandu bahkan pemilik kenderaan yang cuai sehingga menyebabkan kecederaan kepada mana-mana pihak.

Selain itu, langkah yang diambil ini dirasakan perlu bagi memastikan ke kemalangan membabitkan pemandu bawah umur tanpa lesen tidak berulang.

Ini berikutan berlakunya kejadian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun merempuh dua pekerja mesin rumput hingga seorang daripadanya maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, Kuala Muda, Kedah pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada remaja yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

Kejadian kemalangan membabitkan remaja bawah umur memandu tanpa lesen bukan isu baharu di negara ini

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber: Sinar Harian

Salma Syahbuddin