Nafkah RM6,000 Tak Cukup Tanggung 3 Orang Anak, Bekas Isteri SM Faisal Nasimuddin Terpaksa Jual Kerepek

Mahkamah Majistret hari ini memaklumkan, wang nafkah sebanyak RM6,000 sebulan yang diberikan oleh ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin kepada bekas isterinya Emilia Hanafi untuk tiga anak mereka tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan harian.

Emilia Hanafi, 33, berkata wang tersebut tidak mencukupi memandangkan dia terpaksa melakukan kerja sambilan termasuklah menjual kerepek, roti jala, pulut kuning, rendang daging, jeli dan kek bagi menampung kehidupan.

Bahkan, dia juga turut menghantar dan mengambil anak-anak pulang dari sekolah termasuklah menaggung kos sara hidup mereka.

“Saya tanggung anak-anak daripada segi sara hidup. Nafkah diberi tidak cukup dan anak tidak disediakan tempat tinggal. Saya terpaksa kerja sambilan dan uruskan anak seperti hantar dan ambil mereka dari sekolah.

“Buat masa ini, saya dan anak-anak menumpang di rumah ibu bapa. Saya ibu tunggal kepada tiga anak lelaki berusia 10, 12 dan 17 tahun.

“Anak sulung baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Am Antarabangsa untuk Pendidikan Menengah (IGCSE).

“Anak kedua belajar di Tahun Lapan di sekolah menengah swasta antarabangsa di ibu negara, manakala yang bongsu pada Tahun Enam di sekolah sama,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret menolak permohonan pendakwaan supaya perbicaraan kes Emilia ditangguhkan.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, memaklumkan akan membuat semakan undang-undang terhadap arahan mahkamah itu supaya Emilia memberi keterangan hari ini.

Susulan arahan tersebut, pendakwaan memohon prosiding ditangguhkan sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung semakan itu.

Seemnatar itu, Peguam bela SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, tidak membantah semakan itu kerana menjadi hak pendakwaan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, pembelaan tidak bersetuju dengan permohonan menangguhkan prosiding yang disifatkan sebagai membuang masa.

Untuk rekod, SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin