“Semoga Hidup Pelaku Tak Tenteram Setiap Saat” – Bapa Zayn Rayyan

Ibu bapa kepada kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia pada 6 Disember lalu berharap pelaku tidak tenteram atas apa yang terjadi.

Menurut laporan Harian Metro, bapa Zayn iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 28, turut berkata dia tidak akan memaafkan pelaku tersebut.

“Saya tidak akan memaafkan individu yang memperlakukan (menyebabkan kematian) arwah anak saya.

“Saya cuma berdoa supaya pelaku hidup dalam keadaan tidak tenteram setiap saat.

“Begitu juga individu yang melindungi pelaku atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini tapi tidak tampil untuk memberi keterangan disebabkan tidak mahu terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaim berkata, dia menyerahkan siasatan kes anaknya itu kepada pihak polis dan percaya polis akan menahan pelaku kelak.

Dia berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan berterusan melemparkan fitnah atau mengecam ahli keluarganya di media sosial.

Keyboard warrior (pejuang papan kekunci maya) di media sosial yang melemparkan tuduhan, fitnah dan mengecam kami termasuk arwah anak saya, akan merasai juga kehilangan dianiaya orang tidak berhati perut seperti kes anak saya ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan, motif pembunuhan menjadi cabaran utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, segala usaha siasatan dari segi konvensional, saintifik dan forensik sudah melebihi 90 peratus dijalankan.

Susulan itu, beliau dilaporkan berkata, polis kini memfokuskan maklumat risikan bagi memperincikan maklumat sedia ada ke arah memulakan tangkapan.

Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan masih menunggu maklum balas berkaitan semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai, Sungai Buloh, selepas dilaporkan hilang lebih 30 jam.

Lebih mengejutkan, kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Sumber: Harian Metro

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Tak Tutup Kes Zayn Rayyan, Siasatan Masih Diteruskan Walaupun Tiada Petunjuk Baharu

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Melangkah Tahun Baru Dengan Duka Dan Harapan, Semoga Ada Keadilan Buat Anakku” – Ibu Zayn Rayyan

ARTIKEL BERKAITAN: “Rindu Yang Paling Sakit Adalah Rindu Pada Orang Yang Telah Tiada” – Ibu Zayn Rayyan

 ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Zayn Rayyan Reda, Serah Siasatan Kepada Polis – “Saya Tak Sangka Ia Berakhir Macam Ini”

ARTIKEL BERKAITAN: “Jumpa Lagi Ya Abang, Mommy Rindu Sangat… Maafkan Mommy” – Ibu Zayn Rayyan

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil Bedah Siasat Sahkan Kanak-Kanak Autistik Zayn Rayyan Mati Dibunuh

Khairil Khusyairi