Categories: Trending

Lelaki Maut Dipercayai Jatuh Dari Bangunan Wisma MPK

Seorang lelaki dijumpai mati dipercayai akibat terjatuh dari bangunan Wisma Majlis Perbandaran Kluang (MPK), di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata mayat Muhammad Danial Tung Abdullah, 42, ditemui terbaring terlentang di bahagian belakang bangunan tersebut oleh orang awam sebelum laporan polis mengenainya dibuat pada 9.10 pagi tadi.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati, mangsa yang beralamat di Taman Murni, di sini, membawa satu beg sandang berwarna hitam.

“Pemeriksaan tubuh badan mendapati tiada kecederaan luaran atau parah ke atas mangsa. Pemeriksaan di dalam beg sandang itu pula menemui beg duit, satu anak kunci kereta,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Abduh berkata bedah siasat yang dilakukan di Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom (HEBHK), di sini, mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk.

Beliau berkata bedah siasat turut mendapati mangsa patah pada tulang tengkuk, paru-parunya pecah selain lebam di bahagian belakang badan akibat terjatuh daripada  bangunan.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis menemu bual saksi di tempat kejadian.

”Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga diminta tampil membantu siasatan. Urusan pengkebumian jenazah mangsa turut dirujuk dengan Pejabat Agama Islam Daerah Kluang memandangkan mangsa merupakan seorang mualaf (saudara baharu),” katanya.

Sumber : Bernamaa

SGMS Enal