Categories: Trending

Lirik ‘Kemarin’ Gambaran Episod Sedih Sedang Dilalui Ifan Seventeen Ketika Ini. Salam Takziah!

Bencana tsunami yang melanda Selat Sunda, Indonesia malam Sabtu lalu sehingga mengorbankan tiga ahli kumpulan Seventeen serta isteri vokalisnya Riefian Fajarsyah (Ifan), 35, iaitu Dylan Sahara menyentuh hati netizen.

Malah lagu Kemarin ciptaan seorang anggota kumpulan itu, Herman yang turut terkorban dan dinyanyikan Ifan seolah-olah menjelaskan keadaan yang sedang dilalui Ifan ketika ini.

Dia bukan saja kehilangan tiga rakan pemuzik yang bersamanya sejak 20 tahun lalu, bahkan wanita yang amat dicintainya.

Bercakap mengenai lagu Kemarin, ia mengisahkan seorang kehilangan kekasih untuk selama-lamanya dan ia dirakamkan beberapa tahun lalu.

Juliana Moechtar, iaitu isteri Herman seperti dilaporkan media Indonesia berkata, lagu itu kerap dinyanyikan Allahyarham suaminya sebelum berlakunya musibah berkenaan.

Foto: Instagram Rozisangdewi

Lebih terkesan apabila Ifan turut kehilangan isterinya yang meninggal dunia selepas dibadai ombak Tsunami itu.

Mayat Dylan Sahara hanya ditemui dua hari selepas berita kehilangannya dibawa arus Tsunami yang melanda Selat Sunda pada Sabtu lalu.

Ifan mengesahkan perkara itu menerusi Instagram miliknya kira-kira pukul 9 malam (waktu Malaysia, dua hari kemudian iaitu pada 24 Disember lalu.

“Alhamdulillah udah ketemu istriku @dylan_sahara. Makasih ya temen-temen doanya, cuma Allah yang bisa bales kebaikan temen-temen. (Alhamdulillah sudah bertemu isteri saya, @dylan_sahara. Terima kasih kepada rakan-rakan atas doa, hanya Allah yang mampu membalas kebaikan anda semua).

“Minta tolong kirimin al-fatihah ya buat istriku @dylan_sahara InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma amin (Minta tolong sedekahkan al-fatihah ya buat isteri saya, @dylan_sahara InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma amin),” tulisnya.

Sementara itu, Ifan menerusi posting di Instagram pula memuat naik video yang memperlihatkan dia bersama jenazah isterinya berada dalam kenderaan dipercayai dalam perjalanan ke Jakarta.

“Alhamdulillah kita udah semobil lagi. Yuk pulang @dylan_sahara,” (Alhamdulillah, kita sudah dalam kenderaan. Ayuh pulang) tulisnya pada kapsyen video tersebut.

Dalam perkembangan sama, Ifan turut mengesahkan pemain dram Seventeen iaitu Andi turut terkorban menjadikan kesemua anggota kumpulan itu meninggal dunia.

Mereka termasuk Bani (pemain bes), Herman (gitaris) termasuk kru, Ujang dan pengurus kumpulan itu, Oki Wijaya.

Ketika kejadian, Seventeen sedang mengadakan persembahan bersempena hari keluarga sebuah syarikat korporat di Tanjung Lesung Resort, Banten.

Sumber: mStar

Yanie Baharom