Categories: Trending

Permohonan Moratorium Bagi Individu, PKS & Perniagaan Mikro Terjejas Dibuka Hari Ini

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM),  peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro yang terjejas akibat COVID-19 boleh mula memohon moratorium selama enam bulan bermula hari ini.

Permohonan ini selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS. Golongan ini juga tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan TIDAK diperlukan.

“Kelulusan akan diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam”

Peminjam juga boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

Namun, bagi individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma di services.akpk.org.my

Bantuan bayaran balik pinjaman ini juga ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021. Iaitu, pada masa permohonan dibuat, peminjam TIDAK mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari ATAU berhadapan dengan prosiding bankrap atau penggulungan (bankruptcy/winding up).

Dan, BNM juga memaklumkan peminjam yang sudah pun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program terbabit juga boleh memohon moratorium ini.

 

Sumber : BH

Salma Syahbuddin