Categories: Trending

“Saya Ni Cerewet” – Aeril Zafrel Kurang Setuju Baju Melayu Terlampau Moden

Pelakon Aeril Zafrel kurang bersetuju dengan gaya baju Melayu yang terlalu moden sehingga menghilangkan keaslian busana tersebut.

Menurut Aeril, rekaan baju Melayu yang terlalu menyuntik elemen moden bukanlah penyebab untuk menarik pembeli.

“Setiap tahun kita melihat pelbagai rekaan baju Melayu. Saya sendiri kurang setuju kalau sesuatu rekaan itu terlalu moden sehingga menghilangkan keaslian baju Melayu. Baju sebegitu ada peminat tersendiri, tapi mungkin tak ramai.

“Orang ramai mungkin akan suka dengan baju Melayu rekaan tradisional yang diselitkan dengan sedikit sentuhan moden yang tidak berlebihan. Ia digemari peminat busana tersebut yang mahu tampak lebih maskulin,” katanya.

Usahawan selebriti itu mengulas berhubung isu rekaan baju Melayu yang terlalu moden sehingga menghilangkan elemen tradisional.

Ditemui di majlis pelancaran baju Melayu Soultan, koleksi baharu bawah jenama Hijabistahub, Aeril yang menjalin kolaborasi dengan mereka mengaku dia merupakan seorang yang cerewet.

“Saya ini merupakan seorang yang cerewet. Saya ambil masa dua tahun sebelum bersetuju dengan kolaborasi ini. Saya fikir dahulu masak-masak kerana sebelum ini saya juga pernah terlibat dengan jualan baju Melayu jenama sendiri.

“Saya sendiri melihat pelbagai aspek iaitu jualan, kredibiliti dan produk itu sendiri yang dihidupkan oleh Ahmad Syafiq Hilmi dan Wanie Elena. Kerjasama ini melibatkan nama saya, jadi saya tak boleh terus setuju kerana jika ada apa-apa terjadi, nama saya terpalit.

“Namun, saya melihat mereka berdua merupakan antara usahawan Melayu yang berjaya dan dipercayai. Jadi saya bersetuju dan terhasillah koleksi Soultan,” katanya.

Padin