Categories: Trending

“Saya Sendiri Terkejut Apabila Tiba ke Lokasi Kemalangan…” – Achey

Bukan sekadar bergelar duta produk, malah pelawak popular, Achey menyemat tanggungjawab besar terhadap kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Ini termasuklah keprihatinannya berkejar ke lokasi kemalangan apabila lori membawa muatan produk wangian, SugarBomb yang dianggarkan bernilai RM100,000 terbalik di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Damansara menghala ke ibu negara, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, lori satu tan bersama pemandu dan kelendan dalam perjalanan dari Bukit Raja, Klang ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebelum salah satu tayar belakang kenderaan itu meletup. Bagaimanapun, tiada kecederaan berlaku, sebaliknya ribuan produk berterabur dan pecah atas jalan raya.

Video kemalangan yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG) tular dan mencuri perhatian warga netizen apabila ditonton hampir 700,000. Ramai memuji keprihatinan Achey yang sanggup bergegas ke lokasi kemalangan walaupun dalam keadaan jalan raya sesak.

Achey yang juga duta SugarBomb berkata, atas dasar tanggungjawab, dia tidak kisah meninggalkan kerja lain apabila mengetahui lori yang membawa muatan produk SugarBomb berdepan kemalangan.

“Sehari sebelum kemalangan, satu kontena produk SugarBomb terbakar di Sarawak, ia disusuli pula dengan kejadian ini. Syarikat SugarBomb tentulah mengalami kerugian besar, namun ia juga disifatkan sebagai ujian pada bulan Ramadan.

“Saya memuat naik video kemalangan bukannya sengaja mahu menarik perhatian, sebaliknya saya memerlukan doa orang ramai. Bagaimanapun, saya tidak menyangka video berkenaan tular.

“Saya sendiri terkejut apabila tiba ke lokasi kemalangan, produk berterabur dan bau harum semerbak atas jalan raya. Tidak dinafikan, banyak produk pecah dan rosak, tetapi masih ada yang boleh diselamatkan,” katanya.

Anggota kumpulan Bocey itu berkata, dia tidak mahu sekadar menjadi duta produk dan hanya menunggu imbuhan setiap bulan. Selagi ada masalah, dirinya akan membantu apa yang termampu.

“Memang saya tak mampu nak hulur duit bantu ganti rugi, tetapi saya percaya, sokongan dan semangat perlu diberikan dalam keadaan ditimpa musibah.

“Saya sanggup menaiki motosikal bersama isteri dan anak bergegas ke lokasi kejadian. Sebab saya tahu, jalan raya pasti sesak apabila lori terbalik. Memang betul tekaan saya, jalan raya sesak dan petugas SugarBomb bertungkus lumus mengutip produk yang berterabur atas jalan raya,” katanya.

Achey berkata, dia sedar dirinya tiada memiliki pakej sempurna, namun kekurangannya itu perlu digantikan dengan sikap tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Alang-alang jadi duta produk, saya akan pastikan produk yang diwakili betul-betul laku. Saya tidak mahu jadi duta sekadar bergelar duta sahaja, itu tidak bermakna apa-apa.

“Tanggungjawab saya memastikan produk laku keras, barulah syarikat puas hati dengan hasil usaha kita,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran SugarBomb, Mohammad Syafiq Yon Afrizal berkata, lori yang membawa muatan barangan dalam perjalanan ke PWTC untuk menghantar produk wangian badan, penyegar udara dan wangian rumah bagi satu acara yang dijadual berlangsung, keesokannya.

“Kami bersyukur pemandu dan kelendan lori tidak mengalami kecederaan, biarpun sebahagian produk rosak dan bertaburan atas jalan raya.

“Agak malang apabila tayar belakang lori meletup hingga menyebabkan pemandu hilang kawalan, sebelum terbalik di lorong kanan. Acara disertai tetap diteruskan, produk rosak terpaksa digantikan dengan yang lain,” katanya.

Padin