Categories: Trending

“Sebelum Ni, Saya Pun Pernah ‘Kena’ Dengan Diva AA…” – Elly Mazlein

Selebriti versatil, Elly Mazlein mengakui teruja untuk berkolaborasi dengan pengacara otai, Azwan Ali atau Diva AA dalam program Lagu Cinta Kita 2.

Wanita yang mesra dipanggil Kak Lina Pom Pom ini turut meluahkan rasa gementar untuk mengemudi rancangan terbabit yang bakal bermula pada 8 November ini di TV3.

Gementar campur teruja!

“Saya gementar kerana ini merupakan kali pertama saya mengendalikan rancangan baru. Dalam masa yang sama, saya rasa gemuruh bercampur teruja apabila dapat bergandingan dengan Diva AA.

“Bergandingan dengan Diva AA bagaikan mimpi untuk saya, seperti impian yang menjadi kenyataan, dia seorang figura yang sangat dihormati dalam bidang pengacaraan.

“Saya sendiri membesar melihatnya mengemudi rancangan di TV, akhirnya kini saya pula dapat bergandingan berkongsi pentas dengan personaliti terkemuka ini,” kata Elly kepada Xtra.

ARTIKEL BERKAITAN: “2 Minggu Tak Makan Nasi, Bercakap Depan Cermin & Siap Pakai Bengkung!” – Diva AA Bergabung Meletop Dengan Kak Lina Pom Pom Kerana…

ARTIKEL BERKAITAN: Mas Idayu Jadi Juri Cinta! Agaknya Mummy Garang Ke Tak Nanti Dalam LCK2?

Memberikan respons terhadap kenyataan Azwan yang mengatakan Elly sebagai seorang personaliti yang brilliant, pelantun lagu Bungaku Bakawali ini mengambil perkara terbabit sebagai satu anjakan positif.

Kata-kata Diva AA penguat semangat

“Syukur Alhamdulillah, saya ambil perkara tu sebagai penguat semangat untuk saya memberikan yang terbaik.

“Semua orang tahu, apabila Diva AA bercakap mengenai seseorang, dia memberikan teguran kerana dia seorang yang jujur dan lantang. Sebelum ini, saya pun pernah juga ‘kena’ Diva AA.

“Tapi saya tahu, memang itu cara dia. Kini, apabila dia kata begitu, saya sangat bersyukur dan anggap itu sebagai penguat semangat untuk saya memberikan yang terbaik dalam bidang pengacaraan yang baru sahaja saya ceburi,” katanya lagi.

Selain Elly dan Azwan, LCK2 turut dimeriahkan dengan kehadiran Mas Idayu dan Hael Husaini yang bertindak selaku juri cinta.

Jangan lupa saksikan Lagu Cinta Kita 2 bakal bersiaran secara langsung di TV3 bermula 8 November 2020, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam dan ia turut boleh distrim live HD di www.tonton.com.my

Padin