Categories: Trending

Sultan Johor Dipilih Sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-17

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial, pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, Sultan Ibrahim bakal menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan tempoh pemerintahannya pada 30 Januari depan.

Tambah Syed Danial, Majlis Raja-Raja itu turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

“Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Ia dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja kecuali Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja ini sudah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. Perdana Menteri turut dimaklumkan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain