Categories: Trending

Tegur Rakan Tonton Video Lucah Jadi Punca Buli, 10 Pelajar MRSM Ditamatkan Pengajian Bermula Hari Ini

Sepuluh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar yang terbabit dalam kes buli baru-baru ini ditamatkan pengajian berkuat kuasa hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, penamatan pengajian mereka diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) selepas meneliti kes itu.

Kegiatan buli yang berlaku dipandang serius oleh MARA dan hukuman yang diputuskan itu menunjukkan ketegasan pihaknya yang tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku demikian di bawah mana-mana institusi pendidikan MARA dan tajaannya.

“Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Ibu bapa pelajar berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan dibuat jawatankuasa,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, siasatan polis mendapati punca kejadian buli itu adalah kerana tindakan mangsa menasihati seorang daripada suspek untuk berhenti menonton video lucah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia hasil siasatan dan keterangan yang diperolehi daripada mangsa buli berkenaan.

“Kita sudah menemubual mangsa dan mendapati punca pergaduhan atau mengapa dibuli kerana mangsa dikatakan menasihati salah seorang suspek supaya jangan menonton video lucah melalui telefon bimbit.

“Mangsa mengatakan kalau tidak berhenti menonton video lucah dia akan mengadu dengan guru atau warden.

“Jadi, ia dikatakan menjadi punca suspek bertindak untuk memukul atau membuli mangsa,” katanya.

Tambah Mior, keadaan itu membuat enam suspek marah dan terdapat seorang pelajar Tingkatan 3 yang mengarahkan enam orang suspek untuk memukul mangsa.

“Pelajar Tingkatan 3 berusia 15 tahun iaitu salah seorang suspek yang ditahan mengarahkan enam suspek untuk menumbuk dan juga menendang mangsa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Padin