Categories: FeaturedTrending

Tengku Permaisuri Selangor Zahirkan Perasaan Dukacita Insiden Zalimi Haiwan

Paparan berita mengenai penganiayaan secara kejam terhadap seekor kucing di Gombak, Selangor pada Selasa lepas menimbulkan amarah ramai pihak.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman antara yang amat terkesan dengan kejadian berkenaan.

Baginda secara rasmi menghantar surat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar meminta mereka mengenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku yang terbukti bersalah, agar perbuatan seumpamanya tidak berulang lagi.

“Saya terkejut dan sedih dengan perbuatan menzalimi haiwan yang kian berleluasa. Sifat kemanusiaan seolah-olah telah hilang dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sedang sarat mengandung,” kata baginda menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas berita terbaharu yang tular itu.

Foto: Instagram selangorroyalofficial

Foto: Instagram selangorroyalofficial

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen ‘Stray Free Selangor’ (SFS) menerusi titahnya berkata, masyarakat harus peka kerana haiwan juga ada hak dan dilindungi di bawah undang-undang, dan tidak seharusnya berlaku penderaan dan penganiayaan sewenang-wenangnya terhadap haiwan khususnya haiwan peliharaan.

Kenyataan itu menyebut Seksyen 428 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa mereka yang membunuh, meracun atau mencederakan binatang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

Sumber: Astro Awani

Yanie Baharom