Banjir Tahunan Yang Melanda Negara Boleh Dijadikan Tarikan Pelancong – Nazri Aziz

Kenyataan mantan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terhadap potensi banjir  yang melanda negara pada setiap tahun dijadikan sebagai tarikan pelancongan secara sukarela mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, daripada meratapi keadaan yang tidak dapat dikawal ini, adalah wajar sekiranya negara mencari peluang dengan mempromosikan pelancongan kesukarelawanan atau Voluntourism.

“Jika anda tahu ia (banjir) akan datang, maka mulakan perancangan sekarang.

“Mungkin kita boleh mengadakan pelancongan sukarelawan di mana orang ramai datang ke negara ini untuk membantu kita menghadapi banjir, dan ia bukan tentang mereka datang ke sini hanya untuk berseronok tetapi untuk mereka belajar,” katanya.

Memetik laporan Sinar Daily, Ahli parlimen Padang Rengas ini berkata, peluang tersebut dapat membantu negara mengharungi cabaran ekonomi dengan tarikan pelancong asing menyertai program sukarelawan bencana alam.

“Apabila mata wang kita jatuh, sudah tiba masanya kita mempromosikan pelancongan negara kerana ia murah bagi mereka.

“Rakyat Singapura yang datang ke Malaysia hanya perlu membelanjakan satu pertiga daripada gaji mereka dan hotel lima atau enam bintang adalah murah bagi mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya apabila warganet tampil menyuarakan pendapat mereka dengan mengatakan, isu banjir yang melanda negara bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan ‘bahan’ untuk menambahkan pendapatan negara kerana bencana ini mampu mengancam nyawa.

Sementara itu, Ahli parlimen Muar, Syed Saddiq juga turut memberikan  pendapat beliau menerusi ciapan di Twitter miliknya.

 

 

 

Sumber: Sinar Daily, Twitter

Salma Syahbuddin