Banjir Yan: 3 Lelaki Maut, 3 Lagi Mangsa Masih Hilang

Tiga mangsa ditemukan meninggal dunia di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, Kedah yang dilanda banjir susulan fenomena kepala air pada petang Rabu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat operasi pada 1 pagi tadi, tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu lokasi di Titi Hayun.

“Ketiga-tiga mangsa (yang maut) adalah lelaki, dengan satu mangsa ditemukan di tanah runtuh jalan naik ke Gunung Jerai dan dikenal pasti sebagai Shahruzi Mohamad, berusia 53 tahun.

“Jenazah sudah diturunkan dan operasi (mencari dan menyelamat) akan disambung lagi kemudian,” katanya menerusi mesej di aplikasi WhatsApp awal pagi ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan sebentar tadi dan akan bersambung semula 7 pagi ini.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, antara lokasi terlibat banjir selepas kejadian kepala air itu ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Sumber & Foto: BERNAMA

Padin