“Beraya Dengan Dia Masa Susah Tu Paling Saya Ingat” – Shuib Menangis Terkenang Memori Ramadan & Raya Bersama Arwah Siti Sarah

Menjelang ketibaan Syawal, pelawak dan usahawan popular, Shuib Sepahtu masih sedih mengenang semula kenangan bersama arwah isterinya, Siti Sarah.

Dia hilang selera makan biarpun juadah yang disediakan adalah menu kegemarannya kerana bagi Shuib, sambutan Ramadan dan ketibaan Syawal kali ini seakan tidak lengkap.

“Saya paksa makan, cari selera tapi masih tak jumpa. Makan ni sekarang macam cakap dekat diri sendiri kena paksa makan,” katanya.

Pelawak itu turut memberitahu dia berasa sangat kehilangan disebabkan semua perkara yang dilakukan bersama-sama arwah isterinya sebelum ini.

“Sebab semua benda dengan dia. Pergi makan tempat sedap. Kami punya perangai kalau jumpa tempat makan sedap masa saya ‘outstation’ atau masa dia ‘outstation’, akan ajak nanti kita makan dekat situ.

“Masa hari tu saya ada jumpa tempat makan sedap, sedap sangat dan saya terpandang Uwais (anak) dekat depan, saya cakap seronoknya kalau makan dengan ibu,” katanya.

Ketika ditanya tentang persiapan hari raya, Shuib mengalirkan air mata terkenang keadaan beraya dengan arwah Sarah ketika waktu susah dahulu.

“Beraya dengan dia masa susah paling saya ingat. Tiada duit, nak beli baju kena kira-kira, nak beli kuih raya kena kira-kira, nak bagi duit raya kena kira-kira,” ujarnya.

Arwah Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 selepas melahirkan anak keempatnya Ayash Affan ketika dijangkiti virus COVID-19.

Maya Basir