Jaga-Jaga! Ops Sedar JPJ Untuk Pemantauan Insurans Kenderaan Bermula Hari Ini.

Bermula 24 November (Rabu), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Ops Sedar di seluruh negara bagi memantau penggunaan insurans perlindungan kenderaan bermotor.

Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan Sekatan Jalan Raya (SJR) ini dibuat berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh pihak Jabatan terhadap pengguna jalan raya yang masih ramai gagal untuk memiliki perlindungan insurans kenderaan motor.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim di sebuah kenyataan media berkata, pengguna jalan raya yang tidak mempunyai perlindungan insurans akan menimbulkan kesulitan kepada pemilik kenderaan itu sendiri jikalau berlakunya sebarang kemalangan semasa menggunakan kenderaan di jalan raya.

Pengguna jalan raya yang gagal memiliki insurans perlindungan kenderaan motor boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 90(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya ditahan di SJR dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 serta lesen boleh digantung selama 12 bulan.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk tidak menunggu saat-saat akhir dalam memperbaharui Cukai Jalan (LKM) dan Lesen Memandu (LMM) mereka.

“Semasa Ops Sedar ini dilaksanakan di lapangan, pihak Jabatan akan juga menyediakan kemudahan Mobile JPJ, untuk tujuan pembaharuan LKM dan LMM secara terus.

“Sehingga kini, Jabatan tidak menerima sebarang arahan bagi tujuan kelonggaran penangguhan bayaran pembaharuan kedua-dua dokumen (LKM dan LMM) tersebut, yang mana akan berakhir pada jam 12.00 tengah malam 31 Disember 2021” kata Zailani.

Kredit foto: Harian Metro

Arfah